Skip to main content

Berita: 144 Kakitangan DBKK Sertai Kursus Pengauditan DBKK Pada 04-06 Jun 2024

  • Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Bahagian Latihan dan Pembangunan dan Bahagian Audit Dalam telah mengadakan Kursus Pengauditan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang telah berlangsung selama tiga (3) hari, bermula 04-06 Jun 2024, di Pusat Pembelajaran Bandaraya Kota Kinabalu, Taman Kingfisher.

    Kursus selama tiga (3) hari tersebut telah disertai seramai 144 orang peserta, yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman garis panduan pengauditan, perancangan dan teknik-teknik pengauditan serta teknik penulisan laporan audit yang berkualiti.

    Program kursus telah dimulakan dengan ucapan mukadimah daripada Dr. Hajah Mona binti Othman, Pengarah Audit Negeri Sabah. Antara tajuk taklimat yang disampaikan pada hari pertama adalah “Pengurusan Kewangan: Aset dan Perolehan” oleh En. Halimuddin bin Chongge, Timbalan Ketua Pengarah Audit Negeri Sabah; “Pengurusan Kewangan: Terimaan dan Bayaran” oleh Pn. Aimie Dinsin, Penolong Pengarah Audit; dan “Pengenalan Kepada Pengauditan Tadbir Urus” oleh Pn. Aberyna Wong Ing Lu, Penolong Pengarah Audit.

    Manakala, taklimat yang disampaikan pada hari kedua adalah “Pengenalan dan Penyediaan Penyata Kewangan” oleh Pn. Norliza binti Dzulkifli, Penolong Pengarah Audit; dan “Penyata Kewangan Berdasarkan MPSAS” yang telah disampaikan dalam dua sesi oleh Pn. Azizah Haji Daud, Ketua Penolong Pengarah Audit-Kewangan dan Dr. Hajah Mona binti Othman, Pengarah Audit Negeri Sabah.

    Pada hari ketiga dan terakhir kursus, taklimat telah dipecahkan kepada dua sesi di bawah tajuk “Pengenalan Kepada Pengauditan Prestasi (Projek)” yang disampaikan oleh En. Jimmy Tiven, Ketua Penolong Pengarah Audit-Prestasi, sebelum diteruskan dengan “Penyediaan Laporan Ketua Audit Negara dan Proses Susulan” oleh Pn. Asmah binti Kamsar, Ketua Penolong Pengarah Audit-Prestasi.

    Semoga segala ilmu pengetahuan yang dikongsikan menerusi kursus ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta!