Berita: Anjung Kinabalu, Lokasi Perintis Pelaksanaan Kempen Harum Kinabalu
Majlis Peluncuran Kempen Harum Kinabalu anjuran bersama PUSPANITA Cawangan Sabah, PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah berlangsung dengan jayanya pada Jumaat, 07 Jun 2024, bermula 8.00 pagi.
Program ini merupakan cetusan idea YBhg. Datin Seri Panglima Datuk Dr. Hajah Nuinda binti Haji Alias yang bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, ceria dan selamat untuk dikunjungi di samping meningkatkan kesedaran kepada masyarakat setempat, pemilik premis atas kepentingan kebersihan.
Hadir meluncurkan majlis adalah Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Negeri Sabah. Turut hadir memeriahkan majlis, YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu.
Menerusi kempen ini, kompleks pasar Kota Kinabalu telah diberi nafas baharu menerusi penjenamaan semula kepada “Anjung Kinabalu”. Setiap blok-blok bangunan pasar turut diberi nama baharu yang diinspirasikan daripada jualan utama di pasar berkenaan. Antaranya ialah “D’Walai Suri” (Pasar Malam), “D’Walai Mutiara” (Pasar Kraftangan), “D’Walai Cincin” (Pasar Sinsuran), “D’Walai Haruman” (Pasar Buah) dan “D’Walai Matabiru” (Pasar Ikan Masin).
Kempen ini akan diadakan secara berterusan selama sebulan, bermula 07 Jun 2024 sehingga 06 Julai 2024, dan akan diisi dengan pelbagai aktiviti selaras dengan objektif program. Antaranya ialah Pembersihan Pasar, Penyediaan Tong Sampah, Penyediaan Papan Tanda Larangan Membuang Sampah Merata-rata, Pasar Sebagai Zon Contoh Kebersihan, Zon Pasar Terbersih dan Penggredan Zon Terbersih / Gerai Bersih.
Untuk rekod, program ini melibatkan seramai 383 pengusaha gerai di Anjung Kinabalu yang berada di bawah pengurusan tiga (3) persatuan iaitu Persatuan Penjaja Bumiputera Pantai Barat Kota Kinabalu, Persatuan Peniaga Kraftangan Kota Kinabalu dan Persatuan Penjual Ikan Masin & Buah.
Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini! Ayuh sama-sama kita berikan sokongan padu dan sumbangan kepada kejayaan Kempen Harum Kinabalu.



