Berita: DBKK Cycling Team (DCT), KBSS Jayakan Program Amazing Youth Race Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024

12 OGOS 2024: Seramai 141 penggemar sukan berbasikal telah menyertai acara Kayuhan Berbasikal Merdeka bagi Program Amazing Youth Race yang diadakan sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024, di Kadazan-Dusun Cultural Association (KDCA), Penampang, baru-baru ini.Dalam program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) ini, DBKK Cycling Team telah mengetuai pengurusan teknikal dan marshall bagi memastikan ia berjalan dengan lancar, selamat dan teratur.
Acara pelepasan sejauh 16KM telah dimulakan seawal 7.00 pagi dan disempurnakan oleh Encik Adanan Atin, Timbalan Setiausaha Tetap KBSS (Bahagian Sukan). Turut hadir ialah Encik Charles William Dabbi, Timbalan Setiausaha Tetap KBSS (Bahagian Belia) dan Encik Robert Malangking, Setiausaha Majlis Perbandaran Penampang.
Hubungan kerjasama strategik yang terjalin menerusi pelaksanaan acara ini dilihat mampu menyemarakkan lagi semangat patriotik terhadap negara dalam kalangan belia tempatan, selain mengamalkan gaya hidup sihat menerusi sukan berbasikal.



