Berita: Lawatan Kerja MBJ DBKK Ke Perbadanan Labuan, Simbolik Pengukuhan Sinergi Antara Pihak Berkuasa Tempatan

Sumber Info dan Foto: MBJ DBKK
18 OKTOBER 2024: Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu telah mengadakan lawatan kerja ke Perbadanan Labuan selama tiga (3) hari, bermula 24 hingga 27 September lalu, bertujuan untuk mempelajari pengurusan isu-isu pekerja di peringkat agensi.
Lawatan yang diketuai oleh Encik Ag. Azmee bin Ag. Kati, Pengerusi MBJ DBKK ini telah disambut baik oleh Tuan Awang Aizal bin Awang Anak, Pengerusi MBJ di Perbadanan Labuan bersama sembilan (9) orang anggota lain.
Sepanjang lawatan ini, rombongan MBJ DBKK telah dibawa untuk melawat ke beberapa lokasi tarikan pelancong di sekitar Labuan, antaranya ialah Tanah Perkuburan Perang Labuan, Labuan Geopark G2 Batu Pasir Belait Tanjung Batu, Muzium Marin Labuan, Gedung Ubat dan aktiviti ‘jungle trekking’ di Bukit Tanjung Kubong.
Lawatan kerja ini dilihat sebagai satu anjakan paradigma kepada carta organisasi dan carta fungsi yang akan dilaksanakan di DBKK, selain dapat mempelajari dengan lebih terperinci mengenai pekeliling yang perlu dipatuhi dan menapis isu yang berkaitan dengan pekerja sebelum dibawa ke peringkat pengurusan bagi proses membuat keputusan.
Secara tidak langsung, lawatan ini menjadi simbolik pengukuhan antara DBKK dan Perbadanan Labuan. Semoga ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan di DBKK.



