Berita: PERTANDINGAN JUARA KUGIRAN 2025, DBKK NOBATKAN BINTANG TEMPATAN BERBAKAT
17 FEBRUARI 2025: Suasana meriah dan penuh tenaga di Lintasan Deasoka bersempena dengan Pertandingan Juara Kugiran 2025 semalam, menjadi bukti bahawa bakat penggiat seni muzik tempatan bukan calang-calang.
Program yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu ini telah dirasmikan oleh Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), Dewan Bandaraya2 Kota Kinabalu (DBKK) mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Dalam teks ucapan perasmiannya, Dato' Sri Mayor berkata, pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak-anak muda tempatan, di samping memberikan peluang kepada mereka untuk menonjolkan kreativiti serta kebolehan masing-masing di pentas terbuka.
Tambah beliau, pertandingan ini juga secara tidak langsung membantu penduduk bandar raya menjana pendapatan melalui kebolehan serta kemahiran muzik mereka, selain mengeratkan hubungan DBKK dengan komuniti setempat.
Pentas akhir pertandingan ini menampilkan enam (6) finalis membawakan dua (2) buah lagu, iaitu lagu Bahasa Melayu dan Etnik, dengan hasil gubahan instrumental mengikut kemahiran dan kreativiti tersendiri.
Pertandingan Juara Kugiran 2025 Edisi Ke-3 menyaksikan Renewar Band yang berasal dari Sandakan, dinobatkan sebagai Juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta trofi dan sijil. Manakala, Naib Johan dimenangi oleh Borneo Inside Groove (BIG) dan Tempat Ke-3 jatuh kepada A. Force, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan RM800, berserta trofi dan sijil.
Sementara itu, Kumpulan Harapan telah dianugerahkan kepada Time Attack, Sepi Band dan Triliogi, di mana masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM300 berserta sijil.
Di samping itu, turut berlangsung penilaian bagi Kategori-kategori sampingan. Berikut adalah senarai pemenang:
• Vokal Terbaik: Mohd Azhari bin Hazalan (Renewar Band)
• Pemain Gitar Terbaik (Individu): Azwan bin Abdul Aziz (Time Attack)
• Pemain Gitar Bass Terbaik (Individu): Mohd Syahdan bin Masdo (A. Force)
• Pemain Dram Terbaik (Individu): Ramzul Ihsan bin AB Rahman (A. Force)
• Pemain Keyboard/Piano Terbaik (Individu): Christopher Sarapin (BIG)
• Gubahan Instrumental Terbaik: Allen Eugenius (BIG)
Hadirin yang membanjiri pekarangan Lintasan Deasoka turut menyaksikan penampilan khas daripada artis tempatan, Rey Kimara serta persembahan selingan daripada bakat-bakat DBKK, Macdeline Masidah bersama Aliexmexsion Silun sambil diiringi alunan muzik daripada D'Korporat Band.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang Pertandingan Juara Kugiran 2025!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



