Berita: DAPUR KITA-KITA, DAPUR KOMUNITI PERTAMA DI BANDAR RAYA KOTA KINABALU
24 FEBRUARI 2025: Majlis Perasmian Dapur Kita-Kita anjuran Jetsin Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjadi bukti komitmen dalam memperkasakan komuniti setempat menerusi pemberian makanan bermasak yang berkhasiat kepada golongan yang memerlukan.
Mengangkat slogan “Sepinggan Kasih, Sebakul Harapan”, inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan makanan percuma dan berkhasiat kepada golongan yang memerlukan, sekali gus memupuk semangat perpaduan dan belas kasihan dalam kalangan komuniti setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz bte Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Jalan Bandaran, pada 19 Februari 2025.
Dalam ucapan perasmiannya, Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penubuhan Dapur Kita-Kita, yang kini dikenali secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Persatuan Kebajikan Dapur Kita Sabah.
Tambahnya, usaha murni seumpama ini harus dicontohi oleh lebih ramai syarikat korporat dan NGO lain, agar konsep kebajikan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang sosial ini dapat dijadikan sesuatu yang tidak hanya terbatas di kawasan bandar raya sahaja.
Hadir sama dalam majlis ini ialah YBhg. Datuk Koh Chung Jade, Pengarah Urusan Syarikat Jetsin Sdn. Bhd; Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu serta Ketua-ketua Jabatan DBKK.
Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz turut berkenan menyempurnakan gimik penyiraman anak pokok Kenanga (Ylang-Ylang) bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu, melambangkan keprihatinan terhadap alam sekitar serta komitmen dalam membangunkan komuniti setempat yang lebih hijau dan lestari. Anak pokok yang disiram oleh Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz ini akan ditempatkan di Taman Botani Tun Fuad Stephens, Sabah yang kini sedang dalam proses pembangunan.
Dapur Kita-Kita yang diterajui oleh Syarikat Jetsin Sdn. Bhd. bersama individu kumpulan sukarelawan dan NGO seperti Sabah Chefs Association dan Sabah International Convention Centre (SICC) telah mula beroperasi sejak 16 Disember 2024. Sebanyak 200 pek makan tengah hari disediakan setiap hari Isnin hingga hari Sabtu (kecuali hari Ahad dan Cuti Umum) dan diedarkan kepada komuniti yang memerlukan, bermula pukul 11.30 pagi hingga pukul 1.30 petang.
Setakat 19 Februari 2025, lebih 13,000 pek telah diedarkan kepada komuniti dengan melibatkan sumbangan tenaga daripada lebih 300 sukarelawan yang terdiri daripada individu, pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pekerja hotel, syarikat dan NGO.
Setinggi-tinggi Tahniah diucapkan kepada Dapur Kita-Kita! Semoga inisiatif Dapur Kita-Kita ini akan memperkukuh semangat kerjasama antara semua pihak, seiring usaha menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang lestari dan berdaya huni.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez & Mohd. Asruddey Rusli#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



