Skip to main content

Berita: OPERASI IKLAN 1.0: 18 KOMPAUN PELBAGAI KESALAHAN UUK BANDARAYA KOTA KINABALU (IKLAN) 1983 DIKELUARKAN KEPADA PENIAGA, PENGIKLAN

  • 16 MEI 2025: Sebanyak 18 kompaun berjumlah RM9,000 telah dikeluarkan kepada peniaga dan pengiklan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Iklan) 1983 dalam Operasi Iklan 1.0 yang dijalankan sejak awal Mei ini.

    Operasi besar-besaran di bawah Jabatan Pelesenan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ini menyasarkan iklan-iklan promosi haram, iklan papan tanda premis perniagaan tanpa lesen, iklan gegantung (banting), iklan sepanduk (banner), iklan tanpa permit yang sah dan iklan yang dipamer telah tamat tempoh. Lokasi operasi ditumpukan di sekitar pusat bandar raya, Inanam, Kepayan dan Lido.

    Para peniaga dan pengiklan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dinasihatkan untuk mendapatkan kelulusan lesen iklan terlebih dahulu bagi mengelak daripada dikenakan denda yang boleh mencecah sehingga RM5,000 jika disabitkan kesalahan.

    Bagi memastikan tahap pematuhan peniaga dan pengiklan sentiasa berada pada tahap tertinggi, DBKK akan meneruskan operasi seperti ini terutamanya penumpuan di kawasan pinggir pusat bandar seperti Lintas, Tanjung Aru, Likas, Manggatal, Kolombong dan sekitarnya melalui Operasi Iklan 2.0.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelesenan, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK