Berita: PENJENAMAAN SEMULA RAKAN BANDARAYA SEBAGAI RAKAN PINTAR BANDARAYA, PERKUKUH HUBUNGAN ANTARA PENTADBIRAN & KOMUNITI BANDAR RAYA
15 MEI 2025: Dalam usaha untuk memperkukuh hubungan antara pentadbiran bandar dan komuniti bandar raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menjenamakan semula Rakan Bandaraya sebagai Rakan Pintar Bandaraya (Smart City Friends), dalam satu majlis yang diadakan di Horizon Hotel, pada 13 Mei 2025.
Jawatankuasa Rakan Pintar Bandaraya didahului oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selaku Penaung, diikuti oleh Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK selaku Penasihat dan Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), DBKK selaku Pengerusi.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Mayor berkata, program ini telah diperluas dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi, selaras dengan visi DBKK untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai salah satu bandar raya yang terbersih, teratur dan terindah di Malaysia.
Tambah beliau, Rakan Pintar Bandaraya bukan lagi sebuah platform yang hanya menekankan aspek kebersihan semata-mata, tetapi kini turut merangkumi dimensi yang lebih luas, termasuk pendidikan sivik, pengukuhan budaya lestari, pemanfaatan teknologi dan pembudayaan tanggungjawab sosial.
Langkah penjenamaan semula ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif komuniti yang telah diperkenalkan sejak 24 Ogos 2002 dan pernah mencatatkan lebih daripada 1,000 ahli aktif pada tahun 2008. Inisiatif ini sekali gus membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga bandar raya kekal utuh.
Selain itu, Rakan Pintar Bandaraya turut berfungsi sebagai sebuah platform kepada warga Bandaraya Kota Kinabalu untuk menjadi rakan kongsi strategik dalam merancang, melaksana dan menilai inisiatif secara kolektif. Ini termasuklah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti penjaja, rukun tetangga, warga emas, belia dan individu awam.
Objektif penjenamaan semula ini ialah mewujudkan rangkaian luas pencinta kebersihan alam sekitar kawasan Kota Kinabalu, mewujudkan rasa penuh tanggungjawab ahli terhadap penjagaan kebersihan alam sekitar, mendidik orang awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan melalui aktiviti-aktiviti yang membawa kepada kesedaran sivik serta mengukuhkan penguatkuasaan Anti Litter By Laws.
Penjenamaan semula Rakan Pintar Bandaraya dilihat menjadi sebagai pemangkin dalam menyatukan komuniti Kota Kinabalu, merentasi latar belakang dalam mencapai kemajuan bersama!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Mohd. Asruddey Rusli#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



