Skip to main content

Berita: KUNJUNGAN RASMI DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU (DBKK) KE DEWAN BANDARAYA KUCHING UTARA (DBKU)

  • Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pada 8 Mei 2025 sebagai langkah memperkukuh jaringan strategik antara dua bandaraya utama di Malaysia Timur.

    Kunjungan ini bukan sahaja bertujuan mempererat hubungan silaturahim, tetapi juga menjadi platform penanda aras ke arah pembangunan bandar yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.

    Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada YBhg. Dato’ Haji Hilmy bin Haji Othman serta seluruh warga DBKU atas sambutan yang cukup mesra dan penuh profesionalisme.

    Sebagai pihak berkuasa tempatan yang progresif, DBKU dikenali dengan kejayaan pelbagai inisiatif bandar pintar, rendah karbon dan pembangunan berasaskan komuniti — visi yang turut dikongsi oleh DBKK dalam usaha mentransformasikan Kota Kinabalu.

    Kunjungan ini turut merangkumi lawatan rasmi ke Land Custody and Development Authority (LCDA) sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memahami secara lebih dekat aspek penstrukturan dan pembangunan semula bandar melalui Projek Darul Hana.

    Projek ini merupakan salah satu model pembangunan semula bandar yang berskala besar dan menyeluruh, diterajui oleh LCDA bersama DBKU. Ia merangkumi penempatan semula lebih 16,000 penduduk dari 13 kampung di pesisir Sungai Sarawak ke kawasan perumahan moden yang lebih selesa, lengkap dengan kemudahan asas, infrastruktur berkualiti, dan sistem pemilikan tanah yang teratur.

    Namun, keistimewaan Darul Hana bukan sekadar pada fizikalnya — projek ini turut memberi perhatian serius terhadap pemerkasaan komuniti, pemeliharaan nilai budaya dan warisan, serta pengintegrasian elemen spiritual dan sosial dalam pembangunan, seperti yang dilihat menerusi kunjungan ke Masjid Darul Hana, sebuah mercu tanda yang mencerminkan pembangunan beridentiti Islamik moden.

    Sebagai bandaraya yang sedang mengemaskini Pelan Tempatan Kota Kinabalu, DBKK melihat pendekatan holistik LCDA dalam Darul Hana sebagai model rujukan penting — membuktikan bahawa pembangunan fizikal dan kesejahteraan sosial boleh bergerak seiring melalui perancangan rapi dan pelaksanaan bersepadu.

    Delegasi DBKK yang diketuai oleh Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah, JP Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah serta para pengarah jabatan teknikal, jurutera, arkitek, perancang bandar serta perunding kanan.

    Lawatan ini membuka ruang kerjasama dalam bentuk pertukaran kepakaran, pembangunan kapasiti dan pelaksanaan program bersama antara DBKK, DBKU dan LCDA.

    DBKK percaya, kunjungan seperti ini adalah landasan kukuh untuk merintis hubungan dua hala yang lebih dinamik, demi membentuk bandaraya yang lebih lestari, progresif dan sejahtera untuk generasi akan datang.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Liputan: Bella Berhaman
    Sumber Foto: Mohd. Asruddey Rusli