Berita: SESI LIBAT URUS KEMPEN PENGURANGAN PENGGUNAAN POLISTERIN DAN PENYEDUT MINUMAN PLASTIK
06 JUN 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Kempen Pengurangan Penggunaan Polisterin dan Penyedut Minuman Plastik bertempat di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, pada 06 Jun 2025.
Sekitar 135 peserta telah menghadiri sesi libat urus ini yang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Persatuan Kedai Kopi, Persatuan Penjaja, pengurusan pusat beli-belah dan pengusaha plastik.
Sesi libat urus ini telah dipengerusikan oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK dan turut dihadiri oleh Encik Johnny Samson, Setiausaha Rendah (Sektor Pembangunan), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Encik Herric Evans, wakil daripada SIRIM Negeri Sabah.
Dalam sesi ini, Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK telah membentangkan taklimat berkenaan kempen yang dirancang, termasuk objektif dan hala tuju pelaksanaannya. Para jemputan kemudian telah diberikan ruang untuk mengemukakan pandangan dan cadangan bagi memperkukuh pelaksanaan kempen ini.
Sebagai makluman, Kempen Pengurangan Penggunaan Polisterin dan Penyedut Minuman Plastik akan berkuat kuasa mulai 01 Oktober 2025, manakala pelancarannya dijadualkan pada 29 Jun 2025 bersempena dengan Kempen Kesedaran My City, My Responsibility sempena Sambutan Hari Alam Sekitar.
Pelaksanaan kempen ini selari dengan usaha sedia ada seperti Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik, serta menyokong dasar Kerajaan Negeri Sabah melalui Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Kempen ini menyasarkan penglibatan daripada pengusaha premis makanan dan restoran, perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), kedai runcit yang menjual minuman dalam tin, kafe dan kantin sekolah, perkhidmatan katering berdaftar dengan DBKK serta penjaja, pasar dan tamu di bawah pengurusan DBKK.
Mulai 01 Oktober 2025, semua pengusaha yang terlibat dilarang menggunakan polisterin sebagai bahan pembungkusan makanan dan minuman, serta tidak dibenarkan menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan.
DBKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menghadiri sesi libat urus ini. Semoga semua pihak akan terus memberi sokongan dan kerjasama bagi menjayakan inisiatif ini ke arah Bandaraya Kota Kinabalu yang lestari dan berdaya huni!
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



