Berita: Kunjungan Hormat Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Ke Markas 5 Divisyen Infantri
19 OGOS 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan kunjungan hormat ke Markas 5 Divisyen Infantri, Kem Lok Kawi. Kunjungan ini diketuai oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, bersama barisan Pengurusan Tinggi DBKK.
Ketibaan rombongan tersebut telah disambut oleh Brigadier Jeneral Mohd. Zamri bin Abdullah, Panglima 5 Briged, serta Mejar Jeneral Malek Razak Sulaiman.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk menghadiri sesi taklimat Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024, di samping memperkukuhkan kerjasama antara DBKK dan pihak tentera. Menerusi perbincangan yang diadakan, kedua-dua pihak telah menyatakan komitmen untuk memastikan penganjuran acara Hari Kebangsaan di peringkat negeri Sabah berjalan dengan lancar dan berjaya. Perbincangan juga menumpukan kepada susunan atur perbarisan, penglibatan agensi-agensi yang terlibat, serta persediaan logistik bagi acara yang bersejarah ini.
Turut hadir dalam sesi tersebut adalah pegawai-pegawai kanan dari DBKK dan Markas 5 Divisyen Infantri.
DBKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Markas 5 Divisyen Infantri atas kesudian mereka menerima kunjungan ini. Semoga lawatan ini mengeratkan lagi ikatan persahabatan dan kerjasama strategik antara DBKK dan pihak tentera, sekaligus memastikan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2024 di peringkat negeri Sabah berlangsung dengan cemerlang dan penuh bermakna.



