Skip to main content

Berita: PROGRAM PEMBANGUNAN EKO HIKING TRAIL PULAU SEPANGGAR 'TRAIL OF LIFE' : NATURE, CULTURE & SEA "TEROKAI PULAU SEPANGGAR - DESTINASI PELANCONGAN LESTARI

  • -

    21 MEI 2026: Penganjuran Program Pembangunan Eko Hiking Trail Pulau Sepanggar 'Trail of Life' : Nature, Culture & Sea "Terokai Pulau Sepanggar - Destinasi Pelancongan Lestari" kini diteruskan menerusi penganjuran kali ketiga, pada 08 dan 09 Mei 2026.

    Program anjuran Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam mempromosikan keunikan alam semula jadi dan budaya di Pulau Sepanggar kepada masyarakat dan pelancong.

    Penganjuran program pada kali ini turut mendapat penyertaan daripada pelbagai jabatan dan agensi yang turut serta memastikan agar program berjalan dengan lancar.

    Antarnya ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Tanah dan Ukur, Taman-Taman Sabah, Jabatan Perhutanan serta jabatan-jabatan DBKK, iaitu Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya serta Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerja).

    Fokus utama sesi ini adalah aktiviti mendaki ke 'Point 2' yang bertujuan untuk penetapan jarak dan kawasan rehat selain mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi.

    Selain itu, peserta turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan jalan 'Eko-Hiking' dan pemasangan tali keselamatan di kawasan yang curam. Pemotongan kayu ranting yang menghalang laluan pendakian turut dilaksanakan bagi memudahkan pengukuran jarak dibuat, bermula dari 50 meter hingga 1,500 meter.

    Terdahulu, tinjauan awal serta penilaian potensi kawasan telah dilaksanakan bagi mengenal pasti kesesuaian lokasi dan nilai tarikan semula jadi yang boleh dibangunkan, pada bulan Februari sebelum diteruskan dengan kerja-kerja pembukaan laluan eko-pelancongan pada bulan April.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK