Berita: OPERASI PEROBOHAN BERSEPADU STRUKTUR SETINGGAN HARAM DI KAWASAN BELAKANG ALAMESRA, LIKAS
21 JUN 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penguatkuasaan terus memperkukuhkan komitmen dalam menangani isu pencerobohan tanah kerajaan, pembinaan struktur haram dan pertumbuhan penempatan setinggan yang tidak terkawal menerusi pelaksanaan Operasi Perobohan Bersepadu Struktur Setinggan Haram di kawasan belakang Alamesra, Likas, pada 19 Jun 2026.
Operasi yang dilaksanakan bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan DBKK untuk mengembalikan fungsi asal tanah kerajaan yang telah diceroboh, melindungi kawasan sensitif alam sekitar serta memastikan pembangunan bandar raya dilaksanakan secara teratur, selamat dan mematuhi undang-undang.
Kawasan koloni setinggan di kawasan belakang Alamesra dikenal pasti sebagai antara kawasan pencerobohan yang berkembang secara tidak terkawal di atas tanah rizab hutan bakau dan kawasan pesisir sungai, sekali gus menimbulkan pelbagai risiko keselamatan, kesihatan awam, pencemaran alam sekitar serta ancaman kepada ekosistem bakau yang merupakan aset semula jadi penting bagi Bandaraya Kota Kinabalu.
Hasil bancian yang telah dijalankan oleh Bahagian Perobohan dan Struktur Haram mendapati sebanyak 101 buah rumah telah dibina di kawasan penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2, Likas. Selain itu, DBKK turut mengenal pasti 150 buah struktur setinggan di kawasan bakau belakang Alamesra yang sebahagian besarnya didiami oleh penghuni bukan warganegara.
Selaras dengan prinsip keadilan dan pematuhan prosedur undang-undang, DBKK telah mengeluarkan dan menyerahkan Notis Pengosongan, Pengalihan dan Perobohan kepada penghuni terlibat pada 13 April 2026, dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
Tempoh yang diberikan bertujuan memberi ruang yang mencukupi kepada penghuni untuk mengosongkan premis secara sukarela sebelum tindakan perobohan dijalankan.
Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu melibatkan kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan iaitu:
• Bahagian Perobohan dan Struktur Haram, Jabatan Penguatkuasaan DBKK
• Polis Diraja Malaysia (PDRM)
• Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB)
• Jabatan Tanah dan Ukur (JTU)Kerjasama strategik antara agensi ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membanteras aktiviti pencerobohan tanah kerajaan dan pembinaan struktur haram yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta perancangan pembangunan bandar.
Dalam operasi yang dijalankan, sebanyak 13 buah struktur setinggan telah berjaya dirobohkan, menjadikan jumlah keseluruhan struktur yang telah dirobohkan setakat 19 Jun 2026 sebanyak 38 buah rumah. Sebanyak 112 buah struktur lagi dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan seterusnya.
DBKK ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini bukan semata-mata operasi perobohan, sebaliknya merupakan langkah strategik bagi memastikan tanah kerajaan tidak terus diceroboh, memelihara kawasan rizab alam sekitar, mengurangkan risiko kebakaran dan jenayah, serta meningkatkan imej Bandaraya Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang bersih, teratur, selamat dan berdaya huni.
DBKK tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membina, menduduki atau melindungi struktur haram di atas tanah kerajaan. Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Sabah dalam membanteras penempatan setinggan dan mengembalikan penguasaan tanah kerajaan kepada tujuan yang sah.
DBKK merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat atas kerjasama dan komitmen tinggi sepanjang operasi dilaksanakan. Operasi ini berjalan dengan lancar, terkawal dan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
“Tiada kompromi terhadap pencerobohan tanah kerajaan dan struktur haram"
Sumber Info dan Foto: Jabatan Penguatkuasaan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



