Berita: Kunjungan Rasmi Majlis Bandaraya Miri, Jalin Persahabatan Antara Dua Bandar Raya
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) amat berbesar hati menerima kunjungan rasmi daripada Yang Berhormat Tuan Adam Yii Siew Sang, Datuk Bandar Bandaraya Miri pada 20 Jun 2024, bersama ahli-ahli Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan dan Kawalan Bangunan, Majlis Bandaraya Miri.
Ketibaan mereka telah disambut mesra oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama Pengurusan Tertinggi DBKK seraya menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan DBKK dan diikuti dengan persembahan sambut tamu oleh kumpulan tari DBKK.
Dua (2) taklimat telah disampaikan sempena kunjungan rasmi ini iaitu taklimat berhubung “Inisiatif Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat (JPKM) DBKK” oleh Puan Fauziahton Ag. Samad, Pengarah JPKM dan “Pengenalan dan Fungsi Jabatan Kawalan Bangunan (JKBn) DBKK” oleh Encik Kalvin Liaw, Pengarah JKBn.
Menerusi kunjungan rasmi ini, DBKK menyahut baik hasrat Majlis Bandaraya Miri untuk menjalin “Bandar Raya Persahabatan” dan bersama meneroka potensi kerjasama strategik antara dua bandar raya.
Delegasi Majlis Bandaraya Miri turut disertai oleh Tuan Abdul Rahman bin Taupek, Pemangku Setiausaha Bandaraya; Kr. Ernest Goh Khiok Seng, Kr. John Trawe, Kr. Bhagwan Singh, Kr. Rexsoll Gilum, Puan Dayang Siti Nurbaya Bt. Awang Kipli dan Puan Zanariah Bt. Hussain.
Terima kasih Majlis Bandaraya Miri!



