Skip to main content

Berita: Darau Wetland Eco Tourism (CBT Bimbingan DBKK) Terus Dikunjungi Delegasi PBT

  • Darau Wetland Eco-Tourism, iaitu salah satu daripada ‘homestay’ atau inap desa di bawah bimbingan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima lawatan daripada Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan dan Kawalan Bangunan, Majlis Bandaraya Miri pada 20 Jun 2024.

    Delegasi yang diketuai oleh Yang Berhormat Tuan Adam Yii Siew Sang, Datuk Bandar Bandaraya Miri itu telah menzahirkan hasrat untuk meninjau produk pelancongan DBKK yang berasaskan komuniti dan menjadi pemangkin sumber ekonomi kepada penduduk luar bandar.

    Menerusi lawatan ini, YB Datuk Bandar Bandaraya Miri bersama delegasi telah dibawa menaiki bot sepanjang Sungai Darau dan seterusnya dibawa melawat Rumah Budaya bagi menyaksikan demonstrasi memasak kuih penjaram, demonstrasi menjahit hiasan bunga tikar dan demonstrasi bertitik.

    Sempena lawatan ini juga, YB Datuk Bandar Bandaraya Miri bersama delegasi turut berkesempatan untuk menanam anak pokok bakau sebagai tanda sokongan kepada usaha DBKK dalam memulihara hutan paya bakau di sepanjang Sungai Darau. Terdahulu, pada 11 Mei 2024, DBKK telah merasmikan “Program LA21: Penanaman 2,000 Pokok Bakau Di Sepanjang Sungai Darau” yang merupakan satu Pelan Tindakan Dunia bagi Pembangunan Mampan (Global Action Plan for Sustainable Development) ke arah abad ke-21 di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sebanyak 2,000 pokok bakau berjaya ditanam menerusi program ini.

    Terima kasih Majlis Bandaraya Miri! “Iboh lupak mbak balit kuih penjaram. Panjang umo kita jumpa gik”.