Berita: DBKK ANJUR PROGRAM KKCC NEXTGEN 2026 SIRI 3 & SIRI 4, PERKASA POTENSI KEPIMPINAN KANAK-KANAK DAN REMAJA
3 JULAI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penyelidikan dan Inovasi meneruskan penganjuran Program KKCC NextGen 2026 Siri 3 dan Siri 4 yang telah berlangsung di Galeri Double Six, Sembulan pada 20 Jun 2026.
Program ini bertujuan memperkasa potensi kepimpinan kanak-kanak dan remaja melalui penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti yang memupuk kemahiran kepimpinan, komunikasi, literasi digital serta semangat kerja berpasukan.
Program yang berlangsung bermula 8 pagi hingga 4.30 petang ini dibahagikan kepada dua (2) sesi dan disertai oleh seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada Ahli Majlis Kanak-Kanak (MKK) - DBKK.
Sesi pertama dimulakan dengan Siri 3 bertajuk “Keselamatan Dalam Talian, Literasi Digital & Pemetaan Komuniti” yang dikendalikan oleh penceramah jemputan, Dr. Hon Kai Yee. Program kemudian diteruskan dengan Siri 4 bertajuk “Kemahiran Komunikasi Berkesan, Media & Advokasi” yang disampaikan oleh Encik Norhasdi bin Hassan.
Selain penyampaian kandungan utama, peserta turut terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif dan praktikal seperti ‘role-play’, simulasi dan lukisan, sebelum sesi diakhiri dengan aktiviti refleksi dan tugasan ringan bagi mengukuhkan pemahaman peserta.
Sejak dilaksanakan pada Mei 2026, Program KKCC NextGen 2026 diharapkan dapat melahirkan generasi pemimpin muda yang berdaya saing, berintegriti serta bersedia memimpin komuniti ke arah pembangunan bandar raya mampan.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



