Berita: DBKK Zahirkan Sokongan Ke Atas Usaha Pemerkasaan Ekonomi
YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini telah menghadiri dan menyampaikan ucapan di majlis pembukaan “BIMP-EAGA and IMT-GT Blue Economy Strategy (BES) 2030” bertempat di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu.
Kehadiran Dato’ Sri Mayor selaku tetamu kehormat di bengkel anjuran Asian Development Bank itu telah menzahirkan sokongan penuh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ke atas segala ikhtiar dan agenda pemegang-pemegang taruh dalam memperkasakan pembangunan ekonomi lestari dan menyokong inisiatif nasional demi kemajuan Bandaraya Kota Kinabalu dan Sabah, Negeri Di Bawah Bayu.
Kota Kinabalu, merupakan sebuah bandar raya yang telah diberi penghormatan dan terpilih sebagai perintis bagi pelaksanaan BIMP-EAGA East ASEAN Growth Area Region’s Green Cities Initiatives, pada tahun 2017/2018. Inisiatif ini lantas menjadi pemacu kepada terhasilnya Kota Kinabalu Green City Action Plan pada tahun 2019 (KK GCAP 2019) dan menjadi wahana utama dalam mengintegrasikan usaha serta penilaian dalam mendepani cabaran perubahan iklim.
Dato’ Sri Mayor turut menyatakan kesungguhan DBKK untuk mengukuhkan lagi kerjasama bersama pihak-pihak yang menghalakan pemantapan aktiviti rentas sempadan dalam usaha meningkatkan lagi nilai perdagangan dan pelaburan ke arah merancakkan Ekonomi Biru negara, dan seterusnya memberi manfaat kepada pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu.
Semoga bengkel ini mencapai objektif yang digariskan di bawah agenda Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) dan Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).



