Skip to main content

Berita: Aduan Parit Tersumbat Dan Tidak Diselenggara, Syarikat Konsesi Diseru Mengambil Tindakan Serius

  •  

    06 JULAI 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyeru semua syarikat konsesi yang dilantik dalam perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan parit untuk bertindak serius dalam menyampaikan perkhidmatan kepada Bandaraya Kota Kinabalu.

    Hotline DBKK baru-baru ini, 02 Julai 2024, telah menerima aduan parit tersumbat dan dipenuhi sampah sarap di Taman Seri Indah, Kuala Menggatal. Hasil pemeriksaan walau bagaimanapun telah mendapati bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan parit di kawasan tersebut adalah terletak di bawah bidang kuasa sebuah Syarikat Konsesi yang dilantik. Bertindak ke atas aduan awam tersebut, pihak DBKK telah dengan serta-merta menyalurkan aduan kepada Syarikat Konsesi berkenaan. Walau bagaimanapun, aduan yang sama turut diterima sekali lagi pada 03 Julai 2024.

    Pihak DBKK kemudiannya membuat pemeriksaan semula ke atas status aduan dan didapati kerja-kerja pembersihan parit telah dilaksanakan oleh Syarikat Konsesi tersebut pada 05 Julai 2024. Jumlah longgokan sampah yang banyak di dalam parit telah dikenal pasti sebagai punca kepada sekatan aliran air. Longgokan sampah telah dibersihkan dan sistem perparitan telah mengalir dengan baik.

    Dewan Bandaraya Kota Kinabalu amat mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat awam. Sehubungan itu, semua syarikat konsesi yang dilantik adalah diingatkan untuk memberi prestasi terbaik, menambah kekerapan jadual penyelenggaraan dan mematuhi spesifikasi skop kerja yang ditetapkan.

    Pada masa sama, warga Bandaraya Kota Kinabalu turut diseru untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam menjaga keteraturan sistem perparitan dengan tidak membuang sampah ke dalam parit. Tindakan ini akan menyumbang kepada permasalahan parit tersumbat dan akhirnya menghalang sistem perparitan berfungsi dengan baik.

    Kenyataan ini dikeluarkan oleh:

    DATO’ SRI DR. HAJI SABIN BIN SAMITAH, JP
    MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU