Skip to main content

Berita: Sukses! DBKK Dan Penjaja Api-Api Night Food Market Bersatu Hati Bersihkan Jalan Gaya

  • Jalan Gaya

    13 JULAI 2024: Lebih 150 penjaja Api-Api Night Food Market @ Gaya Street (AANFM) telah hadir dan menzahirkan sokongan tulus mereka menjayakan Operasi Pembersihan Jalan Gaya anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 12 Julai 2024, bermula 6.00 petang hingga 9.00 malam.

    Aktiviti gotong-royong yang buat julung kalinya diadakan itu telah menyaksikan sinergi positif antara DBKK dan kumpulan penjaja Api-Api Night Food Market @ Gaya Street, yang bersatu hati ingin melihat Jalan Gaya dalam keadaan bersih, kemas dan teratur.

    Operasi pembersihan ini telah berjaya mengukir lebih makna dan kenangan, apabila kumpulan penjaja AANFM telah hadir sendiri bersama ahli keluarga mereka dan bersama-sama membersihkan tapak AANFM.

    Aktiviti pembersihan telah melibatkan kerja-kerja pencucian permukaan jalan raya, sementara DBKK mengetuai kerja-kerja pembersihan tumbuhan liar atas bangunan, penyelenggaraan pokok, penyelenggaraan pendawaian elektrik, pembaikan papan tanda rosak dan ⁠pembaikan jalan raya. Ia bermula dari Blok A iaitu berhampiran pintu gerbang Jalan Gaya dan berakhir di Blok D.

    Diketuai oleh Encik Robert B. Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, operasi pembersihan ini turut melibatkan kakitangan DBKK daripada Jabatan Pelesenan selaku jabatan penyelaras, Jabatan Landskap, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP), Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Pengangkutan dan Trafik (JPT) dan Jabatan Kawalan Bangunan (JKBn).

    Turut hadir adalah Ketua-ketua Jabatan DBKK; Encik Rozie Khan A. Halik, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Puan Hana’aifah A. Suhaili, Pengarah Jabatan Jabatan Pengangkutan dan Trafik.

    Menerusi inisiatif ini, DBKK meletakkan harapan utama agar Jalan Gaya akan terus kekal bersih, kemas, teratur dan menjadi contoh tapak aktiviti pasar malam yang selamat kepada penjaja dan sentiasa gemar dikunjungi oleh pelancong dan warga Bandaraya Kota Kinabalu.

    Operasi Pembersihan Jalan Gaya 2.0 akan diteruskan hari ini, 13 Julai 2024. Sementara itu, lokasi aktiviti pasar malam Api-Api Night Food Market pada 13 Julai 2024 akan dipindahkan sementara di Padang Merdeka Kota Kinabalu, bermula 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam.

    Tahniah diucapkan kepada kumpulan penjaja Api-Api Night Food Market @ Gaya Street!