Skip to main content

Berita: Sampah Atas Air, Warga Bandar Raya Diseru Jaga Kebersihan Laut Dan Sungai

  • 07 JULAI 2024: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) DBKK hari ini telah membuat pemeriksaan dan pemantauan keadaan sampah sarap atas air, yang melibatkan kawasan perairan jeti Jesselton Point, jeti Taman-taman Sabah, kawasan persisiran laut berhampiran Segama Waterfront, persisiran laut berhampiran Suria Sabah Shopping Mall, Anjung Senja dan Oceanus Waterfront Mall.

    Berdasarkan pemantauan, sampah sarap telah dikesan memenuhi sebahagian kawasan perairan jeti Jesselton Point dan Segama Waterfront. Tindakan pembersihan telah dilaksanakan serta-merta sekitar pukul 2.45 petang oleh pasukan Unit Pembersihan Laut dan Sungai, JPSP, dengan kekuatan anggota seramai 20 orang.

    Manakala tahap kebersihan persisiran laut berhampiran jeti Taman-taman Sabah, Suria Sabah Shopping Mall, Anjung Senja dan Oceanus Waterfront Mall dilaporkan terkawal dan berada dalam keadaan yang bersih.

    Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ingin menasihatkan warga bandar raya untuk tingkatkan kesedaran dalam mengurus tadbir sisa sampah dengan cara yang betul. Tindakan membuang sampah ke perairan laut atau sungai, serta meninggalkan sisa sampah di merata-rata tempat tidak wajar dijadikan sebagai satu kebiasaan dan ianya wajib dihentikan serta-merta demi kesejahteraan persekitaran Kota Kinabalu.

    Terima kasih diucapkan kepada pasukan Unit Pembersihan Laut dan Sungai, JPSP.