Berita: Istiadat Perbarisan Bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah Disambut Meriah Dengan Kehadiran Hampir 10,000 Pengunjung
Bahang kemeriahan sambutan Istiadat Perbarisan bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah jelas dirasai dengan kehadiran hampir 10,000 pengunjung di Padang Merdeka Kota Kinabalu, seawal jam 6.00 pagi tadi.
Majlis yang disambut dengan penuh istiadat ini dimulakan dengan perarakan masuk Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Tentera Darat Malaysia daripada Kem Sri Kinabatangan Sandakan yang diketuai oleh Mejar Roshidee bin Husni dengan kekuatan seramai tiga (3) pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.
Turut mengiringi ketibaan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni, adalah tembakan meriam sebanyak 17 das oleh Tentera Darat Malaysia, yang diketuai oleh Mejar Rusdi bin Husin dengan kekuatan anggota tiga (3) pegawai dan 41 anggota lain-lain pangkat.
Pengunjung yang hadir telah dipersembahkan dengan pelbagai intisari menarik sepanjang majlis, antaranya adalah Pertandingan Berjalan Lalu yang menyaksikan penyertaan daripada 82 kontinjen perbarisan yang terbahagi kepada lapan kategori utama, termasuk jabatan kerajaan berpakaian seragam rasmi, jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam rasmi, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), etnik negeri Sabah, institusi pengajian tinggi, sekolah menengah dan sekolah rendah.
Sambutan diteruskan dengan persembahan khas daripada kumpulan tari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) yang menampilkan kepelbagaian kaum dan etnik di negeri ini menerusi gabungan gerak tari dan warna warni yang tentunya memikat hati para penonton.
Kemeriahan dan semangat sambutan pada kali ini disemarakkan lagi dengan penyampaian lagu berjudul “Selamat Hari Lahir TYT”, yang dipersembahkan oleh Kumpulan Koir DBKK di bawah pimpinan Encik Markus Anggun, dengan kekuatan seramai 15 orang anggota.
Setinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa dan kontinjen perbarisan yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan Istiadat Perbarisan bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah!



