Berita: MAJLIS PERASMIAN FIESTA MAKAN-MAKAN KOTA KINABALU, MERIAHKAN SUASANA BANDAR RAYA!
08 FEBRUARI 2025: Pekarangan Bangunan DBKK dimeriahkan dengan Fiesta Makan-makan Kota Kinabalu bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu.
Majlis Perasmian yang berlangsung di sini semalam telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Sabah Tanah Airku, diikuti dengan persembahan tarian sambut tamu oleh Kumpulan Kesenian DBKK yang memeriahkan suasana dengan sentuhan kebudayaan tempatan.
Para tetamu kemudian dibawa mengimbau kenangan kejayaan penganjuran Fiesta Makan-makan Kota Kinabalu Tahun 2024 dengan tayangan montaj yang mengingatkan kepada sambutan luar biasa warga bandar raya sehingga memberi inspirasi baharu untuk edisi tahun ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Lifred dalam ucapannya berkata, melalui fiesta ini, para usahawan bukan sahaja dapat menonjolkan kreativiti dan kepakaran mereka dalam bidang kulinari, tetapi juga mewujudkan jaringan perniagaan baharu, meningkatkan visibiliti produk, serta berpotensi meluaskan pasaran ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau menggesa para usahawan agar menggunakan platform ini sebaik-baiknya untuk memberi fokus kepada peningkatan jati diri, kualiti produk, penjenamaan dan seterusnya melebarkan sayap ke peringkat yang lebih jauh di peringkat pasaran tempatan dan peringkat antarabangsa.
Para tetamu turut menyaksikan juadah Berobok yang disediakan oleh pihak Adabi, digaul oleh dif-dif undangan sebagai simbolik kepada rasminya Fiesta Makan-makan tahun ini. Berobok, atau juga dikenali sebagai Barobbo merupakan sejenis bubur nasi jagung yang digemari masyarakat setempat dan merupakan makanan tradisional bagi suku kaum Bugis di Sabah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli-ahli Lembaga Penasihat DBKK; Encik Robert B. Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Fiesta Makan-makan Kota Kinabalu; Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) DBKK; Encik Zahari Muhd. Nasir, Pengurus Besar Adabi Sabah Distribution Sdn. Bhd.; Encik Rozie Khan, Pengarah Jabatan Pelesenan, DBKK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Fiesta Makan-makan Tahun 2025 serta Ketua-ketua Jabatan DBKK yang lain.
Sebagai tanda penghargaan kepada komuniti usahawan, majlis turut menyaksikan penyerahan 10 bungkus Bubur Berobok kepada wakil-wakil persatuan usahawan oleh Sr. Lifred Wong, melambangkan sokongan padu DBKK terhadap usaha mereka.
Majlis diakhiri dengan lawatan ke gerai Fiesta Makan-makan dan penyampaian sijil penghargaan kepada para peserta gerai.
Jangan lepaskan peluang untuk ke Fiesta Makan-makan Kota Kinabalu yang akan berlangsung hingga hari ini, 08 Februari 2025, pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam. Terdapat lebih 100 lot jualan untuk dinikmati oleh para pengunjung di lapan (zon utama, termasuk Zon Makanan Warisan Sabah, Zon Western Food & Panggang, Zon Makanan Viral & Buah-buahan, Zon Artisan Market, Mini Games, Rumah Hantu, Hot Wheels, 'food truck' , dan banyak lagi!
Jom datang beramai-ramai. "Makan, enjoy & repeat!"
Liputan: Noorziana Zainih
Foto: Renaldo Fernandez#SambutanUTB25JubliPerak
#FiestaMakanMakanKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media & Komunikasi,
JPPA, DBKK



