Berita: KURSUS PENULISAN PROFESIONAL DOKUMEN RASMI KERAJAAN (SURAT RASMI, MEMO DAN EMEL) SIRI 32025
20 OGOS 2025: Seramai 72 kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menghadiri Kursus Penulisan Profesional Dokumen Rasmi Kerajaan (Surat Rasmi, Memo dan Emel) Siri 3/2025 yang diadakan di Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, pada 12 hingga 13 Ogos 2025.
Kursus yang berlangsung selama dua (2) hari ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada format penulisan surat rasmi, memorandum dan emel yang betul selain mengaplikasikan kaedah penulisan dokumen berdasarkan penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu yang mematuhi piawaian rasmi.
Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK, sementara sesi penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Encik Abdul Mukti bin Haji Muchlish, Pengetua Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK.
Penganjuran Kursus Penulisan Profesional Dokumen Rasmi Kerajaan (Surat Rasmi, Memo dan Emel) merupakan salah satu inisiatif penting dalam usaha meningkatkan kefahaman dan kemahiran peserta dalam penulisan surat dengan lebih profesional dan baik. Menerusi kursus ini, para peserta telah didedahkan kepada pelbagai konsep asas serta teknik penulisan terkini.
Sehingga kini, sebanyak tiga (3) siri kursus telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan daripada lebih 250 peserta yang terdiri daripada pengurusan tertinggi, kumpulan pengurusan dan profesional serta kakitangan pelaksana DBKK, termasuk Setiausaha Pejabat dan Pembantu Setiausaha.
Penganjuran siri kursus ini membuktikan komitmen berterusan DBKK dalam meningkatkan kompetensi pegawai dalam aspek penghasilan dokumen rasmi yang tidak hanya mematuhi piawaian, malah mencerminkan tahap profesionalisme yang tinggi.
Sumber Info dan Foto: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



