Skip to main content

Berita: OPERASI MITIGASI TANAH RUNTUH DI LOKASI BERISIKO SEKITAR BANDAR RAYA

  • -

    17 SEPTEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kejuruteraan telah melaksanakan Operasi Mitigasi Tanah Runtuh di lokasi-lokasi berisiko tinggi sekitar bandar raya berikutan beberapa insiden tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat berterusan, pada 15 dan 16 September 2025.

    Mengetuai operasi ini adalah Jurutera Saiman Angak, Pengarah Jabatan Kejuruteraan, DBKK. Di lapangan, beliau turut dibantu oleh Encik Alexcius bin Likid, Ketua Unit Kerja Tanah (Cerun) berserta anggota-anggota Jabatan Kejuruteraan, DBKK.

    Sepanjang operasi berlangsung, tindakan yang telah diambil adalah melibatkan pemeriksaan tapak, membantu kerja-kerja pemasangan kanvas terpaulin di permukaan cerun runtuh, mengalihkan sisa tanah runtuh dan pokok yang menutup jalan raya dan membersihkan parit yang tersumbat.

    Antara lokasi-lokasi yang terlibat ialah Kampung Minintod Bantayan; Jalan Bukit Bendera Lower; Kampung Unggun, Jalan Sepanggar, Manggatal; Taman Fantasi, Jalan Pinggir, Kampung Sukang Mabpai Bukit Padang, Kampung Kopungit serta Taman Jindo dan Taman Sri Gaya, Luyang.

    Keselamatan awam akan terus diberi keutamaan dan pemantauan di lokasi-lokasi berisiko akan diteruskan, khususnya dalam tempoh cuaca tidak menentu ini. Sebarang aduan atau maklumat berkaitan bencana di sekitar bandar raya boleh disalurkan ke Hotline Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kota Kinabalu menerusi talian 088-239681/088-210011.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Kejuruteraan, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK