Berita: DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU SERAH SIJIL KELAYAKAN MENDUDUKI (OC) KEPADA SBH KIBING SOLAR NEW MATERIALS (M) SDN. BHD.
14 NOVEMBER 2025: Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyerahkan Sijil Kelayakan Menduduki (OC) kepada SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. pada 13 November 2025.
Penyerahan ini bagi menandakan siapnya dua kemudahan sokongan utama syarikat tersebut, iaitu Fasa 1A (Asrama 8 Tingkat) dan Fasa 1D (Stor Bahan Tidak Mudah Terbakar 3). Ini turut menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha peluasan Loji Pengeluaran Ketiga syarikat berkenaan.
Sebelum sesi penyerahan, delegasi DBKK diberi peluang melawat Asrama 8 Tingkat yang baharu disiapkan. Bangunan ini direka khas untuk mengutamakan keselesaan, keselamatan, dan kesejahteraan pekerja. Antara kemudahan yang disediakan ialah dapur halal berasingan, ruang rekreasi, serta pelbagai kemudahan kediaman dan sosial moden bagi menyokong suasana kerja yang sihat, selamat, dan harmoni.
Selain itu, delegasi turut melawat Dewan Pameran Kibing Solar bagi mendengar taklimat mengenai sejarah dan perkembangan global Kumpulan Kibing. Lawatan ini disertai penerangan terperinci mengenai proses pembuatan kaca serta paparan produk-produk syarikat, sekali gus menunjukkan kepakaran teknologi dan komitmen berterusan Kibing Solar terhadap inovasi dalam industri pembuatan kaca.
Dalam ucapan, Mayor telah menyampaikan penghargaan terhadap perancangan pembangunan Kibing Solar yang jelas dan berwawasan, serta memuji strategi peluasan syarikat yang tersusun. Beliau turut menghargai pelaburan berterusan syarikat di Kota Kinabalu.
Kemudahan yang disiapkan oleh Kibing Solar dinilai selamat, berfungsi dengan baik, dan menunjukkan komitmen syarikat terhadap kebajikan pekerja serta pembangunan industri yang mampan. DBKK mengucapkan tahniah kepada Kibing Solar dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan untuk membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Sabah.
Pihak Kibing Solar turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan bimbingan DBKK sepanjang proses kelulusan dan pembangunan projek. Menurut syarikat, siapnya kedua-dua kemudahan sokongan ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan kesiapsiagaan tenaga kerja menjelang permulaan operasi Fasa 2A (Loji Pengeluaran Ketiga) yang dijadualkan pada bulan hadapan.
Setelah beroperasi sepenuhnya, loji tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperluaskan kapasiti pengeluaran, dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan industri negeri Sabah.
DBKK sentiasa komited memastikan pembangunan industri yang mampan selaras dengan kesejahteraan pekerja dan kesejahteraan masyarakat setempat.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariLaporan disediakan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



