Skip to main content

Berita: KK CITY STRONGMAN DAN CAR SHOW 2026 SERLAHKAN SEMANGAT KESUKANAN, KREATIVITI DAN GAYA HIDUP BANDAR

  • -

    11 FEBRUARI 2026 – Program KK City Strongman dan Car Show 2026 yang berlangsung pada 7 Februari 2026 di parkir Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh bertenaga, sekali gus mencerminkan kepelbagaian aktiviti bandar yang merangkumi elemen kesukanan, kreativiti automotif dan penglibatan komuniti.

    Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, bersama Yang Berbahagia Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi. Turut hadir memeriahkan acara ialah Puan Faradillah Hj. Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan DBKK, Encik Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings, serta Encik Azlin Awang Chee, Penyelaras bagi Car Show 2026, selain pegawai-pegawai kanan DBKK dan wakil penganjur.

    Penganjuran ini menampilkan dua komponen utama yang saling melengkapi, iaitu pertandingan KK City Strongman 2026 yang menumpukan kepada ketahanan fizikal dan disiplin sukan kekuatan, serta Car Show 2026 yang mengetengahkan kreativiti, estetika dan inovasi dalam dunia automotif. Gabungan kedua-dua elemen ini berjaya mewujudkan suasana acara bandar yang dinamik dan inklusif, sesuai dengan citarasa pelbagai lapisan masyarakat.

    Keputusan Rasmi KK City Strongman 2026

    Pertandingan KK City Strongman 2026 telah menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan peserta yang diuji menerusi beberapa acara utama seperti Duck Walk, Tyre Flip, Farmers Walk, Truck Pull, Stone Over the Bar dan Car Deadlift. Keputusan rasmi pertandingan adalah seperti berikut:

    Johan – Fadrick Ajang
    Hadiah: RM1,500

    Naib Johan – Rodney Rampai
    Hadiah: RM1,000

    Tempat Ketiga – Leandro David
    Hadiah: RM700

    Tempat Keempat – Raaz Joeven
    Hadiah: RM400

    Tempat Kelima – Elvick Sigar
    Hadiah: RM300

    Tempat Keenam – Rejelwino Albort
    Hadiah: RM150

    Tempat Ketujuh – Ricky Aling
    Hadiah: RM100

    Tempat Kelapan – Axerus Ting
    Hadiah: RM100

    Tempat Kesembilan – Mohd Syukri
    Hadiah: RM50

    Tempat Kesepuluh – Jeremy Jimidol
    Hadiah: RM50

    Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh kepimpinan DBKK sebagai pengiktirafan terhadap usaha, disiplin dan semangat kesukanan yang ditonjolkan oleh para peserta sepanjang pertandingan.

    Disamping itu, Car Show 2026 pula memberi ruang kepada para pemilik kenderaan untuk mempamerkan hasil ubah suai, keunikan rekaan serta tahap penjagaan kenderaan merangkumi pelbagai kategori. Penyampaian anugerah khas termasuk Pilihan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan Pilihan Datin Sri telah menjadi antara detik tumpuan acara, sekali gus menghargai kreativiti dan komitmen peserta dalam dunia automotif.

    Image removed. Anugerah Pilihan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu

    Dimenangi oleh Suchen SK
    (No. Plat: NF 4636)

    Image removed. Anugerah Pilihan Datin Sri

    Dimenangi oleh Mohd Syaib
    (No. Plat: SB 4325 G)

    Penganjuran Car Show ini juga mencerminkan peranan penting komuniti automotif sebagai sebahagian daripada ekosistem gaya hidup bandar yang semakin berkembang, selain berupaya menarik minat generasi muda serta peminat automotif dari pelbagai latar belakang.

    Secara keseluruhannya, penganjuran KK City Strongman dan Car Show 2026 memperlihatkan usaha berterusan DBKK dalam menyediakan platform aktiviti bandar yang progresif, berimpak dan mesra komuniti, di samping menggalakkan gaya hidup sihat, penglibatan belia serta interaksi positif antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat.

    DBKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran ini termasuk pihak penganjur, peserta, rakan strategik, petugas serta orang awam atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Mohd. Asruddey Rusli
    Jurugambar