Skip to main content

Berita: DBKK MEMASTIKAN PASAR BESAR DAN JETI PASAR BESAR KOTA KINABALU BERSIH, SELAMAT DAN TERATUR

  • -

    11 FEBRUARI 2026: pada 7 Februari 2026, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu mengadakan pemeriksaan di Pasar Besar Kota Kinabalu dan Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, yang merupakan antara lokasi tumpuan awam dan aktiviti harian masyarakat.

    Di Pasar Besar Kota Kinabalu, tinjauan memberi tumpuan kepada tahap kebersihan kawasan secara keseluruhan, pematuhan amalan pengendalian dan penyediaan makanan yang bersih

    serta selamat, pengurusan sisa pepejal dan cecair, serta pematuhan terhadap syarat pelesenan dan peraturan kesihatan awam. Pemeriksaan turut melibatkan aspek kebersihan peralatan, penyimpanan bahan mentah dan makanan siap, serta tahap kesedaran peniaga terhadap kepentingan kebersihan demi melindungi kesihatan pengguna.

    Dato’ Sri Mayor menegaskan bahawa pematuhan kepada amalan kebersihan makanan bukan sahaja merupakan keperluan perundangan, malah menjadi tanggungjawab moral semua pihak bagi memastikan keselamatan makanan dan kesejahteraan orang awam sentiasa terpelihara.

    Sementara itu, di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, tinjauan tertumpu kepada kebersihan kawasan operasi, keadaan dan penyelenggaraan kemudahan awam, keselamatan infrastruktur, serta aliran pergerakan pengguna. Pemeriksaan juga melibatkan pematuhan aspek keselamatan bagi pengguna dan pengusaha bot, termasuk keadaan fizikal jeti, ciri keselamatan persekitaran dan tahap kesiapsiagaan pengurusan kawasan bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan.

    Menurut Dato’ Sri Mayor, aspek kebersihan dan keselamatan di kawasan tumpuan awam seperti pasar dan jeti perlu diberi perhatian berterusan kerana ia mempunyai implikasi langsung terhadap keselamatan, keselesaan serta keyakinan orang awam, di samping mencerminkan imej dan reputasi Bandaraya Kota Kinabalu.

    Dewan Bandaraya Kota Kinabalu akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan demi memastikan Bandaraya Kota Kinabalu kekal bersih, selamat dan berdaya huni.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:

    Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
    Bella Berhaman

    Pegawai Penerangan
    Mohd. Asruddey Rusli
    Jurugambar