Berita: KOMITMEN BANDARAYA KOTA KINABALU TERHADAP WARISAN, ALAM SEKITAR DAN KEMANUSIAAN BERSAMA MISS WORLD 2025
12 FEBRUARI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berbesar hati menganjurkan program “Atkinson Clock Tower: A Timeless Commitment – Heritage and Environmental Preservation” bersama Miss World 2025, Miss Opal Suchata, dan Miss World Malaysia 2025, Miss Taanusiya Chetty, bertempat di mercu tanda warisan ikonik Bandaraya Kota Kinabalu, Menara Jam Atkinson.
Program ini disempurnakan dengan kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Turut hadir ialah Yang Berbahagia Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, Yang Berbahagia Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, barisan Pengurusan Tertinggi DBKK, Ahli Lembaga Penasihat DBKK, ketua-ketua jabatan, serta pegawai-pegawai kanan DBKK, di samping delegasi Miss World Organization.
Penganjuran program ini mencerminkan usaha berterusan DBKK bersama rakan strategik dalam memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan warisan sejarah, penjagaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti, selari dengan aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya mampan dan berdaya huni. Ia juga menandakan lawatan ketiga Miss World Organization ke Kota Kinabalu, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama yang telah terjalin secara berterusan.
Menara Jam Atkinson, yang dibina pada tahun 1905, merupakan antara struktur tertua yang masih berdiri di Kota Kinabalu dan menjadi simbol penting kepada sejarah serta identiti bandaraya. Sepanjang lebih satu abad, menara ini telah menjadi saksi kepada perubahan masa dan perkembangan bandar. Pemeliharaan mercu tanda ini mencerminkan komitmen DBKK dalam mengekalkan nilai sejarah, identiti bandar dan kesinambungan warisan untuk tatapan dan penghayatan generasi akan datang.
Dari sudut alam sekitar dan biodiversiti, program ini diterjemahkan melalui aktiviti penyiraman pokok sebagai tanda keprihatinan dan komitmen terhadap kelestarian alam. Usaha ini meneruskan inisiatif yang telah dimulakan sebelum ini, pokok-pokok ini akan terus dipelihara dan berkembang di Taman Botani Tun Fuad Stephens, Sabah. Langkah ini menekankan bahawa penjagaan alam sekitar memerlukan usaha berterusan serta penglibatan pelbagai pihak.
Program ini turut membawa mesej kemanusiaan dan tanggungjawab sosial, dengan penekanan kepada nilai keprihatinan, kebersamaan dan rasa tanggungjawab bersama terhadap persekitaran dan warisan. Penglibatan platform antarabangsa seperti Miss World membantu menyampaikan mesej ini secara lebih meluas dan berkesan.
Seiring aspirasi pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu, DBKK akan terus komited memperkukuh usaha pemeliharaan warisan, perlindungan alam sekitar dan pembangunan komuniti secara seimbang demi kesejahteraan bandaraya serta generasi masa kini dan akan datang.
Terima kasih dan selamat datang ke Bandaraya Kota Kinabalu.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



