Berita: DBKK Lancar Laporan Pelaksanaan, Pemantauan, Dan Penilaian Bagi Tindakan Perubahan Iklim Kota Kinabalu 2024-2030
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melancarkan Laporan Pelaksanaan, Pemantauan, Dan Penilaian Bagi Tindakan Perubahan Iklim Kota Kinabalu 2024-2030, selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan Pelan KK 2035.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Datuk Abidin Madingkir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Bertanggungjawab Kepada DBKK. Hadir sama adalah YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; Tpr. Stanley Chong, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah; Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK, Dr. Susan Pudin, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran); Encik Abdul Manaf bin Rajikan, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) DBKK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pelancaran Laporan Pelaksanaan, Pemantauan dan Penilaian Bagi Tindakan Perubahan Iklim Kota Kinabalu 2024-2030 dan KK Sustainable Urban Mobility Planning Workshop; Ahli-ahli Lembaga Penasihat dan Ketua-ketua Jabatan DBKK.
Pelancaran laporan ini dibuat sempena bengkel Kota Kinabalu Sustainable Urban Mobility Planning (SUMP) anjuran Sustainable Urban Mobility in Metropolitan Regions (SMMR), yang berlangsung selama dua (2) hari, iaitu 27 hingga 28 Jun 2024.
Bengkel ini merupakan antara inisiatif yang tersenarai di bawah sektor pengangkutan, bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai bandar raya dan pihak berkepentingan lain untuk menyediakan pelan mobiliti bandar raya dengan berkesan. Peserta terdiri daripada anggota-anggota DBKK, wakil daripada agensi kerajaan berkaitan, pihak berkepentingan tempatan, Penasihat Teknikal Antarabangsa dari ASEAN-SMMR dan Grab Malaysia.
DBKK komited dalam menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi, pihak berkepentingan, rakan kongsi utama dan ahli komuniti bagi memastikan pelaksanaan tindakan yang komprehensif.



