Skip to main content

Berita: DBKK, MPP TANDATANGANI MOU PELAKSANAAN INTEGRASI APLIKASI SABAH SMART PARKING DAN FLEXI PARKING

  • 08 MAC 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Perbandaran Penampang (MPP) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebagai simbolik kerjasama dalam pelaksanaan integrasi aplikasi Sabah Smart Parking dan Flexi Parking, dalam satu majlis di Hotel Horizon pada 07 Mac 2025.

    Sesi menandatangani MoU ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama-sama Encik Francis Chong, Presiden MPP, sambil disaksikan oleh YBhg. Datuk Dr. Jamili Nais, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

    Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor berkata, pelaksanaan integrasi ini adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memperluaskan digitalisasi dalam perkhidmatan awam.

    Jelas beliau, dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, penggunaan teknologi bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif dan responsif.

    Melalui pengintegrasian ini, pengguna hanya perlu menggunakan sama ada aplikasi Sabah Smart Parking atau Flexi Parking, untuk membuat pembayaran caj tempat letak kereta di mana-mana kawasan bawah pentadbiran DBKK dan MPP, mulai 10 Mac 2025.

    Selain itu, beberapa ciri tambahan turut diperkenalkan dalam aplikasi ini bagi memudahkan para pengguna, iaitu kemudahan membuat semakan serta pembayaran tunggakan kompaun yang dikeluarkan oleh DBKK dan MPP.

    Usaha pengintegrasian ini sekali gus dapat mengurangkan kekeliruan selain meningkatkan keselesaan dalam pengurusan tempat letak kereta di kedua-dua kawasan pentadbiran ini.

    Turut hadir dalam majlis ini ialah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK merangkap Ahli Lembaga Pengarah DBKK Holdings Sdn. Bhd. (DBKKH); Encik Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif DBKKH serta barisan Pengurusan Tertinggi DBKK.

    Semoga kerjasama ini menjadi contoh kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di Sabah untuk turut serta dalam usaha memperkasa sistem tempat letak kereta digital yang lebih efisien dan mesra pengguna!

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK