Berita: KAYUHAN MERDEKA BELIA BEBAS DADAH 2026 SEMARAKKAN BULAN KEBANGSAAN
13 OGOS 2026: Sebagai usaha mengalakkan gaya hidup sihat, aktif dan bebas dadah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama PEMADAM Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu telah menganjurkan Kayuhan Merdeka Belia Bebas Dadah 2026, pada 8 dan 9 Ogos 2026.
Sebagai simbolik pelancaran dan sokongan terhadap inisiatif ini, Majlis Penyerahan Bendera Kayuhan Merdeka Belia Bebas Dadah 2026 telah berlangsung pada 7 Ogos 2026 bertempat di Dewan Mesyuarat, Bangunan DBKK.
Penyerahan bendera telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK, mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu kepada YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK merangkap Pengerusi PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu, sambil disaksikan oleh Puan Jossie Ansilmus, Setiausaha Eksekutif PEMADAM Negeri Sabah.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor berkata, program ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah menjadi wadah untuk memupuk semangat patriotisme, menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan belia, mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Kayuhan Merdeka Belia Bebas Dadah 2026 dimulakan dengan sesi pelepasan oleh YBrs. Tuan Robert Lipon yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Kayuhan Merdeka Belia Bebas Dadah 2026, seawal jam 5.30 pagi pada 8 Ogos 2026.
Peloton kayuhan ini melibatkan seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli kelab berbasikal, DBKK Cycling Team (Gagak Hitam) yang bertolak daripada pekarangan Bangunan DBKK menuju ke Polumpung Melangkap View Camp Site, Kota Belud melibatkan jarak sejauh 102 kilometer.
Para peserta telah berkhemah di lokasi berkenaan sebelum meneruskan kayuhan pada hari berikutnya, menuju ke Kampung Sangkir, Kota Belud sekali gus membawa jumlah keseluruhan jarak kayuhan sejauh 138 kilometer.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus memperkasa budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, di samping menyemai kesedaran mengenai kepentingan menjauhi penyalahgunaan dadah.
Sumber Info dan Foto: DBKK Cycling Team (Gagak Hitam)
Foto: Renaldo Fernandez dan DBKK Cycling Team (Gagak Hitam)#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



