Berita: KEMPEN PASAR MALAM BERSIH TAHUN 2026: MEMBUDAYAKAN AMALAN KEBERSIHAN DAN KESELAMATAN MAKANAN DALAM KALANGAN PENJAJA
15 JUN 2026: Bersempena dengan Kempen Pasar Malam Bersih 2026 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah dipilih untuk mewakili negeri Sabah menerusi Api-Api Night Food Market sebagai lokasi kempen yang akan berlangsung mulai Mei hingga Julai 2026.
Bertemakan “Pasar Malam Bersih, Rakyat Sejahtera”, kempen ini bertujuan untuk membudayakan amalan kebersihan, keselamatan makanan serta penjagaan alam sekitar dalam kalangan peniaga dan pengunjung pasar malam.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri yang Bertanggungjawab kepada DBKK.
Dalam ucapannya, YB Menteri berkata, kebersihan kawasan awam, medan selera dan pasar malam merupakan antara faktor penting yang membentuk persepsi pelawat terhadap Kota Kinabalu dan Sabah secara keseluruhannya. Usaha memelihara kebersihan perlu terus diperkasakan dan dijadikan budaya dalam kehidupan seharian masyarakat.
Tegas beliau, semua pihak harus sentiasa komited untuk memastikan kawasan awam berada dalam keadaan bersih, sihat dan kondusif. Kebersihan bukan tugas pihak berkuasa semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, serta YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah Sektor (Operasi) DBKK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Kempen Pasar Malam Bersih Tahun 2026.
Bagi memastikan objektif kempen tercapai, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sepanjang tempoh kempen, antaranya pemeriksaan dan penggredan awal serta akhir, lawatan tapak penjaja, sesi libat urus bersama penjaja, program gotong-royong pembersihan bersepadu serta kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan tapak niaga.
Turut hadir memberikan sokongan kepada kempen ini ialah Tuan Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, dan Dr. Nirmal Kaur, Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKKK).
Selepas menyempurnakan gimik perasmian, YB Datuk Joniston bersama rombongan telah mengadakan lawatan ke sekitar Api-Api Night Food Market sambil beramah mesra dengan para penjaja.
Melalui kerjasama erat antara DBKK dan para penjaja, usaha memupuk budaya kebersihan ini diharapkan dapat diteruskan demi manfaat bersama, sekali gus memperkukuh imej pasar malam sebagai destinasi yang selamat, selesa dan berkualiti untuk semua.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



