Berita: KERJASAMA ERAT DBKK, PENJAJA JAYAKAN PROGRAM GOTONG-ROYONG DI PASAR PEKAN TANJUNG ARU
03 APRIL 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelesenan dengan kerjasama erat para penjaja telah menjayakan program gotong-royong pembersihan di sekitar Pasar Pekan Tanjung Aru, pada 28 Mac 2025.
Program yang telah berlangsung bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi ini telah melibatkan usaha sama daripada seramai 24 orang. Mereka terdiri daripada lapan orang penjaja serta 16 kakitangan DBKK daripada Jabatan Pelesenan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya.
Kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan adalah tertumpu kepada kawasan di sekitar kaki lima dan bumbung bangunan Pasar Pekan Tanjung Aru. Selain daripada itu, mereka turut membersihkan ‘roller shutter’, kipas dinding dan persekitaran kawasan meja penjaja.
Gotong-royong ini menjadi simbolik kepada kerjasama erat yang terjalin di antara DBKK dan para penjaja, khususnya dalam memastikan kebersihan pasar sentiasa terjamin sekali gus meningkatkan keselesaan para pengunjung yang datang membeli keperluan harian.
Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini!
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelesenan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



