Skip to main content

Berita: KUNJUNGAN HORMAT SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) NEGERI SABAH KE DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU

  • -

    19 OKTOBER 2025: Kunjungan hormat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah ke Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah diadakan pada 17 Oktober 2025 yang lalu.

    Kunjungan tersebut diketuai oleh Datuk Mohd Fuad Bee bin Hj. Basrah, Pengarah SPRM Negeri Sabah, dan Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama barisan pengurusan tertinggi dan pegawai kanan, bersama-sama hadir bagi membincangkan ruang kerjasama strategik antara kedua-dua agensi.

    Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk mengukuhkan jalinan kerjasama dua hala, selain bertukar pandangan mengenai inisiatif pemerkasaan intergriti, tadbir urus yang baik serta usaha pencegahan rasuah di Negeri Sabah.

    Dalam pertemuan ini, kedua-dua agensi telah bertukar pandangan dan idea secara konstruktif mengenai pelbagai aspek pelaksanaan tugas, selain membincangkan langkah-langkah proaktif bagi memperkukuh budaya kerja berintegriti di kalangan warga perkhidmatan awam.

    Turut dibincangkan ialah keperluan memperkukuh tatacara pelantikan kontraktor dan penyediaan Bill of Quantity (BQ) agar setiap proses dijalankan secara profesional dan mematuhi peraturan kewangan semasa.

    Kedua-dua pihak juga bersetuju mengenai kepentingan penglibatan SPRM dalam mesyuarat-mesyuarat tertentu serta tindakan penguatkuasaan bersama, khususnya yang melibatkan isu berisiko rasuah atau salah guna kuasa, bagi memastikan setiap keputusan dibuat dengan tahap integriti yang tinggi.

    Selain itu, turut meneliti cadangan untuk memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBKK dan SPRM Negeri Sabah. MoU ini dihasratkan menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama dalam bidang pencegahan rasuah, pendidikan integriti, latihan pembangunan etika serta perkongsian maklumat bagi memperkukuh sistem tadbir urus yang berkesan.

    DBKK amat menghargai kesudian pihak SPRM Negeri Sabah untuk mengadakan kunjungan ini, yang disifatkan sebagai satu langkah positif ke arah memperkukuh sinergi dan kerjasama strategik antara dua agensi kerajaan.

    Diharapkan jalinan kerjasama ini akan terus diperkasakan melalui pelaksanaan pelan tindakan bersama demi memastikan setiap urusan perbandaran dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan bebas rasuah, selaras dengan aspirasi “Bandar Raya Kota Kinabalu yang Bersih, Hijau dan Sejahtera.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Mohd. Asruddey Rusli
    Jurugambar