Berita: MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU (DBKK) DENGAN AGENSI ANGKASA MALAYSIA (MYSA)
06 MEI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melakar detik penting apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), dalam satu majlis yang diadakan di Sabah International Convention Centre, pada 05 Mei 2026.
Upacara menandatangani MoU di antara DBKK dan MYSA telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan YBhg. Dato’ Geospatialist Haji Azlikamil Napiah, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia.
Momen penuh makna ini telah disaksikan oleh YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Bertanggungjawab Kepada DBKK.
Dalam ucapannya, YB Menteri berkata, melalui MoU ini, DBKK mendapat akses langsung kepada kepakaran MYSA meliputi penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi (Geographic Information System - GIS), dan teknologi maklumat dan komunikasi (Information and Communication Technology - ICT).
Jelas beliau, teknologi ini akan digunakan secara khusus untuk empat (4) fungsi utama iaitu perancangan bandar yang lebih tersusun, pengurusan bencana yang lebih awal dan bersasar, pemantauan alam sekitar yang berterusan, serta penguatkuasaan yang lebih berkesan. Pendekatan ini membolehkan keputusan yang lebih tepat, pantas dan berimpak tinggi dibuat untuk masyarakat.
Hadir sama dalam majlis ini ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; YBhg. Technologist Kamaruzzaman bin Wahid, Pengarah Bahagian Aplikasi Strategik, MYSA, barisan Pengurusan Tinggi, DBKK serta pegawai-pegawai, MYSA.
Pemeteraian jalinan kerjasama ini mencerminkan kesungguhan DBKK dan MYSA dalam memperkasa penggunaan teknologi dan inovasi demi pembangunan bandar raya yang lebih mampan dan berdaya saing.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Bazlie Amir dan Mohd. Asruddey Rusli#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



