Berita: MESYUARAT AGUNG PEMADAM BANDARAYA KOTA KINABALU TAHUN 2025 KE-25
27 MAC 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menganjurkan Mesyuarat Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2025 Kali Ke-28, bertempat di Dewan Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan DBKK, pada 21 Mac 2025.
Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu atas usaha berterusan dalam memerangi ancaman penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan masyarakat bandar raya.
Dato’ Sri Mayor turut menekankan kepentingan pendekatan berbentuk pendidikan tentang bahaya penyalahgunaan dadah yang perlu disemai di peringkat awal lagi. Ini termasuk di sekolah, pusat pengajian tinggi, tempat kerja serta kawasan kejiranan. Beliau mengajak semua pihak untuk sentiasa menyokong dan bekerjasama dalam menjayakan kempen-kempen kesedaran anjuran PEMADAM, kerana sokongan ini penting bagi memastikan mesej kesedaran disebarkan secara meluas kepada semua lapisan masyarakat.
Hadir sama ialah YBhg. Datuk Yeo Boon Hai, Timbalan Pengerusi PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu; Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) selaku Pengerusi PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu, DBKK dan Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), DBKK.
Turut berlangsung dalam majlis ini, sesi cabutan bertuah bagi ahli-ahli PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu.
PEMADAM memainkan peranan yang signifikan dalam meningkatkan kesedaran umum terhadap bahaya najis dadah yang telah terbukti merosakkan kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat.
PEMADAM turut berperanan untuk menggalakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat. Usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata, tetapi memerlukan penglibatan aktif daripada komuniti setempat sebagai ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa.
Sumber Info: PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu
Foto: Renaldo Fernandez
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



