Berita: PENGHARGAAN ATAS JALINAN DIPLOMATIK YANG ERAT – KUNJUNGAN PERPISAHAN KONSUL JENERAL REPUBLIK INDONESIA, BAPAK RAFAIL WALANGITAN
Pada 28 April 2025, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Bapak Rafail Walangitan, sempena berakhirnya tempoh perkhidmatan rasmi beliau di Sabah.
Kunjungan ini menjadi kesempatan yang bermakna bagi Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, untuk menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa, dedikasi dan komitmen yang telah diberikan oleh Bapak Rafail dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Kota Kinabalu dan Republik Indonesia.
Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, hubungan erat antara KJRI dan DBKK telah diperkasa melalui pelbagai inisiatif bersama dalam bidang pelancongan, pendidikan, budaya dan pembangunan komuniti serantau.
Kerjasama ini bukan sahaja memperkaya pertukaran budaya dan memperkukuh persefahaman antara rakyat, bahkan turut membuka ruang untuk perluasan jaringan diplomatik dan ekonomi yang strategik.
DBKK percaya bahawa hubungan yang telah terbina ini akan menjadi landasan kukuh kepada kesinambungan jalinan mesra dan kerjasama strategik pada masa akan datang, termasuk dalam bidang infrastruktur bandar mampan, pembangunan modal insan, pengurusan bandar pintar serta program pertukaran kepakaran dan latihan.
Dalam pertemuan ini, Dato’ Sri Mayor turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha Bapak Rafail dalam menyokong pembangunan inklusif di Kota Kinabalu, dan menyatakan harapan agar kesinambungan hubungan erat yang telah terjalin ini akan terus dipelihara dan diperkukuh pada masa hadapan.
DBKK akan terus komited menjalin kerjasama erat dengan KJRI serta semua pihak berkepentingan dalam usaha memajukan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya serantau yang progresif, inklusif dan mesra antarabangsa.
Pada 1 Mei 2025, barisan pengurusan tertinggi DBKK turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk merakamkan ucapan selamat jalan kepada Bapak Rafail Walangitan dan keluarga yang akan berangkat ke Jakarta.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariLiputan: Bella Berhaman
Sumber Foto: Mohd. Asruddey Rusli & Mohd. Khairul Anwar Ahmad



