Skip to main content

Berita: SESI KUNJUNGAN HORMAT RAKAN STRATEGIK, DBKK KE TAMAN-TAMAN SABAH

  • 29 MAC 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan Sesi Kunjungan Hormat Rakan Strategik ke Taman-Taman Sabah, di Ibu Pejabat Taman-Taman Sabah, di sini, pada 26 Mac 2025.

    Rombongan DBKK yang diketuai oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK ini terdiri daripada seramai 12 kakitangan Jabatan Landskap, DBKK. Antaranya ialah Datin Dr. Noridawati Abd Rahman, Arkitek Landskap; Puan Hajah Salmah Aplasin, Pegawai Pertanian; Encik Affindy Chua, Penolong Pegawai Pertanian serta pegawai-pegawai sokongan jabatan.

    Sementara itu, Taman-Taman Sabah telah diketuai oleh Puan Rimi Repin, Timbalan Pengarah (Pentadbiran, Kewangan, Penyelidikan dan Inovasi) mewakili YBhg. Dr. Maklarin Lakim, Pengarah Taman-Taman Sabah.

    Kunjungan hormat ini bertujuan sebagai platform untuk saling berkongsi dan bertukar pandangan, pengalaman serta amalan terbaik, khususnya dalam pengurusan dan pemuliharaan spesis endemik di Taman-Taman Sabah. Ini sebagai panduan kepada DBKK dalam menguruskan Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah yang bakal dibuka pada tahun ini.

    Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan berkaitan perkhidmatan, latihan dan kursus yang boleh ditawarkan oleh Taman-Taman Sabah kepada DBKK, dalam usaha pemantapan kualiti perkhidmatan dan penyelenggaraan taman botani.

    Hasil daripada perbincangan yang diadakan, Taman-Taman Sabah menzahirkan kesediaan dalam menawarkan Latihan Kepakaran (Attachment) kepada Pegawai-pegawai dan kakitangan Taman Awam, Jabatan Landskap, DBKK ke Sabah Parks Poring Ranau.

    Selain itu, Projek Khas Kebun Rafflesia turut dipersetujui untuk dilaksanakan di Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah sebagai faktor tarikan disampung mempromosikan taman botani ini.

    DBKK bersama-sama Taman-Taman Sabah turut membincangkan aspek keselamatan dan kos penyelenggaran, bagi memastikan pengurusan Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah yang lebih cekap dan sistematik.

    Semoga kerjasama strategik di antara DBKK dan Taman-Taman Sabah dapat memperkukuh sinergi yang terjalin, seiring usaha menyokong pembangunan Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Landskap, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK