Berita: SESI LIBAT URUS STRATEGIK JABATAN PERKHIDMATAN AWAM NEGERI SABAH BERSAMA DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU
23 MEI 2026: Dalam memperkukuh sinergi dan memperkasa penyampaian perkhidmatan ke arah tadbir urus yang lebih berkesan, satu sesi libat urus strategik Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah diadakan di Dewan Mesyuarat, Bangunan DBKK, pada 22 Mei 2026.
Pelaksanaan sesi libat urus ini bertujuan untuk meneliti isu-isu berkaitan perjawatan, pengurusan sumber manusia serta keperluan semasa organisasi dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan berkesan.
Sesi libat urus ini telah dihadiri oleh YBhg. Datuk Zainudin Aman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, JPANS dan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dato’ Sri Mayor berkata, sesi ini merupakan platform penting dalam membina kefahaman bersama, mengenai cabaran, keperluan dan hala tuju masa depan pengurusan Bandaraya Kota Kinabalu.
Tambahnya, sokongan dan kerjasama erat antara JPANS dan DBKK akan dapat membina sebuah organisasi bandar raya yang bukan sahaja cekap dan berintegriti, tetapi juga mampu memenuhi aspirasi rakyat dan pembangunan negeri Sabah secara keseluruhannya.
Pengisian utama sesi ini ialah pembentangan Sesi Libat Urus Strategik yang disampaikan oleh YBrs. Tuan Karim bin Haji Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK sebelum diteruskan dengan sesi interaktif bagi bertukar pandangan, membincangkan hala tuju serta cadangan penambahbaikan terhadap struktur organisasi dan pengurusan perjawatan DBKK.
Hadir sama ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; Puan Aidah binti Haji Awang, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan, JPANS serta barisan Pengurusan Tinggi, DBKK dan JPANS.
Sebelum mengakhiri sesi ini, Datuk Zainudin turut mengadakan lawatan ke beberapa pejabat dan bahagian di bangunan DBKK bagi meninjau pengoperasian jabatan secara lebih dekat.
Sesi ini diharap menjadi platform yang bermanfaat dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada warga Bandaraya Kota Kinabalu.
Sumber Info: Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, DBKK
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



