Skip to main content

Acara: KK CLEANUP DAY 2.0 DAN PELANCARAN CABARAN "KAMPUNGKU BERSIH" EDISI KEPULAUAN SEMPENA SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN 2005

07:00am-01:00pm

Bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal akan menganjurkan program KK Cleanup Day 2.0 dan Pelancaran Cabaran ‘Kampungku Bersih’ Edisi Kepulauan, di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, bermula 7.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, pada 23 Ogos 2025.

Program yang dijangka akan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu ini bertujuan untuk memupuk semangat cintakan kebersihan dalam kalangan komuniti, menggalakkan penglibatan bersama antara masyarakat, agensi dan pihak swasta serta menyokong usaha mewujudkan bandar raya yang lebih bersih, hijau dan lestari.

KK Cleanup Day 2.0 merupakan kesinambungan daripada kejayaan KK Cleanup Day 1.0 yang diadakan pada Januari lalu dan telah berjaya mengutip sebanyak 100 tan sampah, hasil daripada penglibatan ribuan sukarelawan.

Penganjuran pada kali ini akan menyaksikan penambahbaikan yang memberi penekanan kepada pengumpulan botol plastik daripada kampung-kampung di Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar, sebelum dihantar ke Prestige Recycle Technics Sdn. Bhd., yang merupakan pusat kitar semula rakan strategik DBKK.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Urus Setia Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK di talian 011-51341547 (WhatsApp). Selain itu, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini berkaitan program melalui laman rasmi Facebook dan TikTok “KK Bersih dan Hijau”.

Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK

#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestari

Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK