Berita: LAWATAN KERJA RASMI DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU KE MAJLIS BANDARAYA PASIR GUDANG
24 APRIL 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), pada 23 April 2026.
Ketibaan rombongan telah disambut mesra oleh Encik Ezlan Farid bin Mohd. Said, Setiausaha Majlis Bandaraya Pasir Gudang. Hadir sama ialah YBrs. Puan Hajah Norhayati binti Sarmoen, Pengarah Pelesenan serta pegawai-pegawai kanan, MBPG.
Sementara itu, rombongan DBKK diwakili oleh YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK bersama Encik Rozie Khan Halik, Pengarah serta pegawai-pegawai, Jabatan Pelesenan, DBKK.
Rombongan DBKK telah dibawa untuk melawat ke Galeri Bandaraya sambil mendengar taklimat yang disampaikan oleh Encik Mohamed Noor Hafidz bin Md. Noor, Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam, sebelum diteruskan dengan penerangan berkaitan peranan dan fungsi Jabatan Pelesenan, MBPG.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk memahami pelaksanaan dan pengurusan iklan Lesen Elektronik Digital (LED) berbayar yang dilaksanakan. Perbincangan turut merangkumi aspek pengawalseliaan serta penguatkuasaan terhadap pemasangan iklan LED tanpa lesen atau yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Selain itu, usaha untuk memperkukuh kerjasama dan pertukaran maklumat antara pihak berkepentingan turut dilaksanakan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan serta penguatkuasaan. Berdasarkan pengalaman dan amalan terbaik daripada MBPG, cadangan penambahbaikan turut dikemukakan bagi mempertingkatkan proses pengeluaran lesen dan pengurusan penjualan iklan LED secara menyeluruh.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Pasir Gudang atas kesudian menerima kehadiran DBKK dan saling bertukar idea berkaitan pengurusan hal-hal berkaitan pelesenan demi pemantapan perkhidmatan.
Sumber Info: Jabatan Pelesenan, DBKK
Foto: Jabatan Pelesenan, DBKK dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



