Berita: PROGRAM PEMBANGUNAN EKO HIKING TRAIL PULAU SEPANGGAR 'TRAIL OF LIFE' : NATURE, CULTURE & SEA "TEROKAI PULAU SEPANGGAR - DESTINASI PELANCONGAN LESTARI"
19 JUN 2026: Usaha pembangunan laluan eko-pelancongan di Pulau Sepanggar terus diperkukuh menerusi Program Pembangunan Eko Hiking Trail Pulau Sepanggar 'Trail of Life' : Nature, Culture & Sea "Terokai Pulau Sepanggar - Destinasi Pelancongan Lestari" yang berlangsung pada 13 hingga 14 Jun 2026.
Program anjuran Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ini merupakan kesinambungan daripada siri pembangunan laluan eko-hiking yang telah dilaksanakan sebelum ini bagi memperkasa potensi Pulau Sepanggar sebagai destinasi pelancongan lestari.
Penganjuran kali ini turut melibatkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi yang memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan laluan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Antaranya ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Perhutanan, Taman-Taman Sabah dan beberapa jabatan di bawah DBKK iaitu Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerja serta Jabatan Botani.
Fokus utama program kali ini adalah meneruskan kerja-kerja penetapan laluan pendakian bermula dari Dreamers Island Resort (Point 1) menuju Mari-Mari Dive & Lodge (Point 2), termasuk pengukuran jarak, penentuan kawasan rehat dan mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi sepanjang laluan.
Sepanjang program berlangsung, kerja-kerja merantis dan pembukaan laluan turut dilaksanakan bagi memastikan laluan lebih jelas dan selamat untuk dilalui.
Selain itu, kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi telah ditandakan menggunakan pita keselamatan, manakala tali keselamatan turut dipasang di beberapa kawasan curam bagi meningkatkan aspek keselamatan pengguna.
Selain itu, penanda jarak juga telah dipasang pada setiap 100 kaki bagi memudahkan pemantauan serta rujukan sepanjang laluan pendakian.
Program ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan Eko Hiking Trail Pulau Sepanggar. Walau bagaimanapun, laluan yang dikenal pasti ketika ini masih berada dalam fasa penilaian dan penambahbaikan.
Bagi fasa seterusnya, tumpuan akan diberikan kepada usaha mengenal pasti laluan yang lebih selesa dan sesuai untuk pendaki, selain meneruskan kerja-kerja pembersihan laluan, pemasangan tali keselamatan di kawasan berisiko serta pemasangan papan tanda dan penunjuk jarak.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



