Berita: PROGRAM JOM MEMASAK BERSAMA DAPUR ADABI BERSEMPENA DENGAN HARI LANDSKAP KOTA KINABALU 2026
30 JUN 2026: Program Jom Memasak Bersama Dapur Adabi telah berlangsung bersempena dengan Hari Landskap Kota Kinabalu 2026 yang diadakan di Taman Chong Thain Vun, pada 26 Jun 2026.
Program ini berjaya menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir untuk menyaksikan demonstrasi masakan secara langsung, selain menyertai pelbagai aktiviti sampingan yang dianjurkan.
Antara pengisian utama ialah demonstrasi memasak menggunakan produk-produk keluaran Adabi yang dikendalikan oleh Chef Abby. Suasana menjadi lebih istimewa apabila sesi tersebut turut disertai oleh YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohd Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Kota Kinabalu (CDKK) bersama Puan Daisy Aloysius, Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah.
Turut hadir memeriahkan program ialah Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), DBKK; ketua-ketua jabatan serta ahli-ahli PUSPANITA CDKK.
Selain aktiviti berbentuk rekreasi dan komuniti, Hari Landskap Kota Kinabalu 2026 turut mengetengahkan elemen perkongsian ilmu serta kesedaran terhadap kepentingan landskap bandar dan kelestarian alam sekitar.
Pada sebelah petang, pengunjung berpeluang untuk mengikuti Sesi Ceramah Landskap Bersama LAr. CA. Eric Ye, Pengerusi Institute Landscape Architect Malaysia (ILAM) Sabah Chapter. Menerusi sesi bertajuk “Kota Kinabalu City Parks: Past, Present & Future”, beliau berkongsi mengenai perkembangan, pencapaian serta hala tuju taman-taman di Bandaraya Kota Kinabalu.
Hadir sama dalam sesi ini ialah Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK.
Pengunjung turut berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi pengoperasian jentera penghancur kayu yang memproses sisa dahan dan ranting sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan sisa hijau yang lestari.
Hari Landskap Kota KInabalu 2026 telah berlangsung selama tiga (3) hari bermula 26 hingga 28 Jun 2026, dengan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja menghiburkan, namun turut memberi manfaat kepada masyarakat menerusi pengisian berbentuk pendidikan, kesedaran dan penglibatan komuniti.
“Inovasi Hijau Pembangunan Mampan”
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



