Berita: MAJLIS PELANCARAN HARI LANDSKAP KOTA KINABALU 2026 DAN JEJAK WARISAN KOTA KINABALU
30 JUN 2026: Dalam usaha mempromosikan pembangunan landskap bandar raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Landskap telah menganjurkan Hari Landskap Kota Kinabalu (HLKK) 2026 yang berlangsung di Taman Chong Thain Vun, pada 26 hingga 28 Jun 2026.
Majlis pelancaran HLKK 2026 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang hadir bersama isteri, YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohd Soffi, selaku Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Kota Kinabalu (CDKK).
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor berkata, penganjuran HLKK 2026 yang bertemakan “Inovasi Hijau Pembangunan Mampan” merupakan antara platform penting DBKK dalam memperkukuh agenda pembangunan bandar yang hijau, lestari dan berdaya huni.
Dato’ Sri Mayor turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Reka Bentuk Pembangunan Koridor Hijau & Kemudahan Awam (Pekan Sembulan) dan Pertandingan Landskap bagi kategori sekolah menengah dan rendah sebelum meluangkan masa melawat ke tapak pameran rakan-rakan strategik.
Hadir sama dalam majlis ini ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; barisan Pengurusan Tinggi, DBKK; Puan Hajah Dayang Nur Zilah Hassilah binti Haji Ag Kachee, Ketua Penolong Setiausaha mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah.
Majlis kemudiannya diteruskan di City Park Kota Kinabalu dengan pelancaran Jejak Warisan Kota Kinabalu (KK Heritage Trail) yang juga disempurnakan oleh Dato’ Sri Mayor. Pelancaran ini merupakan antara pengisian utama yang melengkapi sambutan HLKK 2026.
Jejak Warisan Kota Kinabalu merupakan satu inisiatif yang menghubungkan lima (5) lokasi warisan utama di pusat bandar, iaitu Bangunan Mahkamah Tinggi Lama, Tugu Peringatan ANZAC, City Park Kota Kinabalu, Monumen Malaysia dan Jalan Gaya.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan bertujuan untuk memelihara nilai warisan bandar di samping memperkenalkan sejarah serta identiti bandar raya kepada masyarakat dan pelawat.
Sepanjang penganjuran HLKK 2026, pelbagai aktiviti dan tarikan menarik disediakan yang sesuai untuk seisi keluarga. Antaranya ialah pameran hasil karya pertandingan HLKK, mural seni “Glow in the Dark” serta karya instalasi yang menjadi antara tarikan utama program.
Dalam masa yang sama, pelbagai pertandingan turut berlangsung termasuk Pertandingan Fotografi Landskap, Pertandingan Video TikTok, Pertandingan Mewarna dan Kuiz Kahoot. Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi sesi cabutan bertuah.
Penganjuran HLKK 2026 secara dwitahunan diharap terus menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan landskap bandar yang mampan, selaras aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya huni.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



