Berita: 124 Tan Sampah Berjaya Dilupuskan Hasil Usaha KK Cleanup Day 4.0
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
Program KK Cleanup Day 4.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah berlangsung dengan jayanya selama tiga (3) hari bermula pada 02 Oktober 2024 dan berakhir pada hari ini.
Program ini melibatkan Kampung Lok Urai, Kampung Kasuapan, Kampung Pulau Gaya Asli, Kampung Lobong, dan Kampung Torong Logong di Pulau Gaya, serta Kampung Pulau Sepanggar di Pulau Sepanggar. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan penduduk dan pengusaha di Kota Kinabalu melalui aktiviti pembersihan yang berterusan. Usaha membersihkan kawasan kampung oleh penduduk adalah satu contoh kerjasama penting bagi memastikan kebersihan dan keindahan persekitaran.
Sepanjang tempoh tiga hari program ini, sebanyak 124 tan sampah berjaya dilupuskan, dengan pecahan sebanyak 66 tan pada hari pertama, 35 tan pada hari kedua, dan 23 tan pada hari ketiga. Jumlah keseluruhan sampah yang berjaya dilupuskan ini juga melebihi jangkaan dan sasaran awal DBKK sebanyak 100 tan, menunjukkan komitmen yang tinggi daripada semua pihak yang terlibat.
Sebanyak 27 buah bot dan 31 unit jentera berat yang terdiri daripada lori kompaktor, lori ro-ro, jengkaut, dan open truck telah digerakkan sepanjang tempoh program bagi memastikan sampah yang terkumpul dapat dilupuskan dengan berkesan.
Dengan kejayaan program kali ini, dapat dilihat bagaimana usaha bersama boleh memberi impak yang besar. Ini turut menunjukkan komitmen dan kecekalan penduduk kampung dalam menjaga kebersihan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penduduk kampung yang terlibat di Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar atas komitmen tinggi mereka dalam menjayakan program ini. Diharapkan semangat ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada komuniti lain untuk menjaga alam sekitar dengan penuh tanggungjawab.
Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada 250 anggota DBKK yang telah bertungkus-lumus menjayakan program, termasuk pihak Taman-taman Sabah dan semua agensi yang terlibat.
Bagi mengikuti perkembangan semasa program KK Cleanup Day 4.0: Pulau Gaya & Pulau Sepanggar, layari akaun TikTok dan Facebook KK Bersih Dan Hijau.



