Berita: Serlahkan Bakat Anda! Jom Sertai Pertandingan Fotografi Program Upcycle @ Recology

Bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu yang bakal dirai, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal akan mengadakan Pertandingan Fotografi Program Upcycle @ Recology, bermula 09 Disember 2024 hingga 09 Februari 2025!
Bertemakan “Whimsical, Wonderful City Life”, pertandingan ini adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berbakat dalam seni fotografi. Tema ini dipilih bagi mencerminkan kehidupan masyarakat bandar raya yang harmoni dan sejahtera, di samping pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu yang ceria dan menekankan elemen kelestarian alam sekitar. Tema ini juga mengangkat elemen penghargaan kepada keindahan persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu, yang merangkum elemen yang diinspirasikan oleh amalan “Reduce, Reuse and Recycle (3R)”.
Johan pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000, manakala Naib Johan dan Tempat Ketiga masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan RM1,000. Sementara 20 hasil karya peserta juga akan dipilih sebagai pemenang saguhati dan bakal memenangi hadiah wang tunai bernilai RM200.
Pertandingan Fotografi ini turut mendapat sokongan daripada figura-figura yang signifikan dalam dunia seni fotografi antaranya Encik Jimmy Goh, seorang fotojurnalis Daily Express dan Overseas Chinese Daily News, serta Dr. Danny Kok, Pengarah Pemasaran di Wawasan Rafflesia Sdn. Bhd. yang juga merupakan mantan Pengerusi Persatuan Seni & Fotografi Sabah.
Ayuh warga Bandaraya Kota Kinabalu, jangan lepaskan peluang untuk menyertai pertandingan ini dan memenangi hadiah menarik yang ditawarkan! Pemenang pertandingan akan diumumkan dalam Majlis Upcycle @ Recology pada 09 Februari 2025. Hasil karya juga akan dipamerkan kepada masyarakat umum.
Borang Pendaftaran dan Peraturan Pertandingan boleh diperolehi dengan mengimbas Kod QR yang tertera atau melayari pautan https://forms.gle/ZLUwejaHwtQzUwXb9.
Untuk maklumat lanjut, layari laman TikTok dan laman Facebook “KK Bersih Dan Hijau” atau hubungi penganjur di nombor telefon yang tertera.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPeranginanSemulajadi
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA DBKK
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK



