Berita: Jasa Dan Pengorbanan Perwira Tanah Air Dikenang Dalam Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Petagas
21 JANUARI 2025: Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa pahlawan yang berkorban demi mempertahankan kedaulatan tanah air, sekitar 1,200 orang telah menghadiri Upacara Memperingati Mangsa-mangsa Perang Petagas, yang diadakan di Tugu Peringatan Petagas, hari ini.
Acara tahunan anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ini dimulakan dengan tiupan 'Last Post' diikuti dengan bertakafur selama 20 saat, bagi mengenang perwira tanah air yang terkorban.
Majlis kemudian diteruskan dengan Istiadat Meletak Karangan Bunga yang didahului oleh YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang hadir mewakil Ketua Menteri Sabah.
Turut meletakkan karangan bunga sebagai tanda penghormatan ialah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK yang hadir mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; Dr. Huang Shi Fang, Konsul General Republik Rakyat China di Kota Kinabalu; YBhg. Datuk Dr. Jamili Nais, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah; YBhg. Encik Patrick Laing Ngau, Penolong Setiausaha Kanan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dan Encik Ben Stephens, wakil keluarga bekas tawanan mangsa perang.
Dalam pada itu, majlis turut disertai oleh kontinjen-kontinjen perbarisan daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut DiRaja Malaysia, Tentera Udara DiRaja Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Persatuan Veteran ATM (Sabah) dan Jabatan Penguatkuasaan, DBKK.
Tirai Upacara Memperingati Mangsa-mangsa Perang Petagas diakhiri dengan tiupan 'Rouse'.
Semoga jasa dan pengorbanan perwira tanah air dalam mempertahankan kedaulatan negara menjadi pemangkin kepada semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



