Skip to main content

Berita: KURSUS PENULISAN PROFESIONAL DOKUMEN RASMI (SURAT RASMI, MEMO DAN EMEL KERAJAAN) SESI BERSAMA KETUA-KETUA JABATAN

  • -

    24 JULAI 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya telah menganjurkan Kursus Penulisan Profesional Dokumen Rasmi (Surat Rasmi, Memo Dan Emel Kerajaan) Sesi Bersama Ketua-ketua Jabatan, bertempat di Hotel Horizon, pada 21 Julai 2025.

    Seramai 59 kakitangan DBKK telah menghadiri kursus ini di mana mereka telah didedahkan kepada pelbagai konsep asas serta teknik penulisan terkini, seiring usaha untuk memperkasakan kemahiran peserta dalam penulisan surat menjadi lebih profesional dan berkualiti.

    Majlis Perasmian kursus telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Sementara itu, Majlis Penyampaian Sijil telah disampaikan oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK.

    Antara pengisian kursus ini ialah taklimat bertajuk ‘”Pengenalan Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan” oleh Puan Aidalina binti Mahili, Perunding Latihan, INTAN Sabah; “Format Surat Rasmi, Memo dan Emel Kerajaan” oleh Puan Sanisa binti Arib, Penolong Perunding Latihan, INTAN Sabah; dan “Gaya Bahasa Dalam Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan” oleh Encik Josliw bin Matjumping, Perunding Latihan Kanan, INTAN Sabah.

    Objektif utama penganjuran kursus ini ialah untuk memberi pendedahan kepada penulisan surat dan memo rasmi yang berkualiti bagi membantu organisasi, khususnya pejabat-pejabat awam, dalam memberi dan menerima mesej bermakna yang dapat mempercepatkan proses tindakan serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

    Kursus ini turut mengaplikasikan kaedah penulisan dokumen khususnya surat rasmi, memorandum dan emel berdasarkan tatabahasa Bahasa Melayu yang standard.

    Sumber Info: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
    Foto: Mohd. Asruddey Rusli & Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK