Skip to main content

Berita: KE ARAH PEMBANGUNAN MAMPAN DENGAN KERJASAMA DI ANTARA DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU DAN ASSOCIATION OF CONSULTANT ENGINEERS SABAH BRANCH

  • -

    06 SEPTEMBER 2025: Dalam usaha mengukuhkan kerjasama di antara pihak berkuasa dan pihak profesional, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Jurutera Perunding Cawangan Sabah (Association of Consulting Engineers-ACEM), pada 04 September 2025.

    Tujuan kunjungan adalah untuk mewujudkan persefahaman dan menyelaras prosedur kejuruteraan berkaitan dengan perancangan dan pembangunan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

    Kunjungan ini dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK dan turut dihadari oleh Jurutera-jurutera DBKK.

    Rombongan ACEM Cawangan Negeri Sabah terdiri daripada sembilan (9) orang ahli Profesional dan diketuai oleh Ir. Benny Song Peng Yeu, Pengerusi ACEM Cawangan Sabah.

    Perbincangan yang dilakukan adalah berkaitan dengan tempoh kelulusan pelan kejuruteraan, pematuhan peraturan-peraturan yang ditetapkan berdasarkan garis panduan sedia ada serta integrasi amalan baik kejuruteraan dengan projek infrastruktur awam dan sebagainya.

    DBKK menyambut baik usaha dan kerjasama pihak profesional untuk meningkatkan kualiti dan kemampanan projek-projek yang sedang dijalankan mahupun yang akan dilaksanakan.

    Kedua-dua pihak juga mengambil maklum cabaran yang dihadapi dan berusaha untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

    Selain itu, DBKK akan bekerjasama dengan ACEM dalam meningkatkan kemahiran pegawai-pegawai teknikal DBKK melalui penganjuran beberapa siri kursus.

    Kunjungan hormat ini diharap akan menggalakkan pertumbuhan bandar raya yang mampan melalui amalan kejuruteraan dan tadbir urus yang cekap.

    Sumber Info: Jabatan Kejuruteraan, DBKK

    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disunting oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK