Skip to main content

Berita: DBKK ANJUR KURSUS SISTEM PENGURUSAN ANTI RASUAH ISO 37001:2025 (ABMS) DAN IKRAR BEBAS RASUAH (IBR)

  • -

    12 SEPTEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya telah menganjurkan Kursus Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001:2025 (ABMS) dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bertempat di Horizon Hotel, pada 02 September 2025.

    Seramai 75 peserta yang terdiri daripada barisan Pengurusan Tertinggi dan Ketua-ketua Jabatan, DBKK menghadiri kursus ini yang dianjurkan bagi memastikan pematuhan kepada standard ISO 37001:2025 yang bertujuan untuk mencegah, mengesan dan menangani rasuah dalam organisasi.

    Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang turut menyaksikan lafaz Ikrar Bebas Rasuah. Sementara itu, Majlis Penyampaian Sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK.

    Menerusi kursus ini, para hadirin telah diberi pendedahan kepada manfaat pelaksanaan ISO 37001:2025 serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi membangunkan dan melaksana ABMS. Pengurusan anti rasuah dapat melengkapkan DBKK dengan alatan dan teknik untuk mengesan dan mencegah rasuah, selain meningkatkan integriti dan kredibiliti sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Kursus ini telah dikendalikan oleh Think Big Management Consultant Sdn. Bhd. yang berperanan sebagai rakan strategik DBKK dalam memberikan pendedahan, kefahaman dan bimbingan teknikal berhubung pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti Rasuah.

    Secara keseluruhan, kursus ini akan dianjurkan sebanyak 18 kali dan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh enam (6) bulan. DBKK bertekad menjadi model Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telus, berakauntabiliti dan bebas rasuah demi kesejahteraan warga Bandaraya Kota Kinabalu.

    Sumber Info: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya dan Bahagian Integriti, DBKK
    Foto: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
    Suntingan: Bahagian Media dan Komunikasi, JPPA

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK